NEW YORK: Warganegara Malaysia yang tinggal di pantai timur Amerika Syarikat, kawasan yang musnah dilanda taufan Sandy, tidak berdepan dengan keadaan yang mengancam nyawa, menurut Konsul Jeneral Malaysia di sini, Syed Bakri Syed Abdul Rahman.Syed Bakri yang membuat penilaian terhadap kejadian seminggu lalu yang menyaksikan pergolakan teruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini, memberitahu Bernama bahawa beliau sedih bila melihat gambar-gambar menunjukkan kemusnahan terhadap kehidupan dan harta benda akibat taufan itu. "Ya, saya sangat sedih melihat kemusnahan disebabkan taufan Sandy itu. Saya berharap orang ramai mempunyai kekuatan dan semangat untuk memulihkan keadaan segera dan kembali kepada kehidupan biasa."Sudah tentu terdapat rakyat Malaysia turut terjejas kehidupan mereka akibat kemusnahan teruk yang terjadi, terutama di New York dan New Jersey. Ketiadaan bekalan tenaga, terutama semasa mereka sedang memasuki musim sejuk, boleh menimbulkan kesusahan," kata Syed Bakri.Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang ditutup beberapa hari awal minggu lalu ketika taufan Sandy memuncak, yang menyebabkan bukan sahaja bekalan tenaga terputus tetapi juga trafik dan pengangkutan awam terhenti, sudah dibuka semula Khamis lepas.Namun, beberapa pegawai di pejabat agensi kerajaan yang lain di New York terpaksa mencari kediaman sementara di hotel-hotel, disebabkan rumah mereka masih lagi tidak mendapat bekalan elektrik dan tidak boleh melakukan kerja rumah dalam keadaan bergelap serta cuaca yang sangat sejuk.Arham Abdul Rahman, Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) di New York, tidak dapat tinggal di rumah sewanya di Fort Lee, New Jersey, kerana sehingga Ahad, masih belum mendapat bekalan elektrik.Arham tiada pilihan lain kecuali terpaksa memindahkan keluarganya ke tempat yang selamat di bilik hotel, selepas mendapat kebenaran ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur."Keadaan di dalam rumah gelap gelita dan sangat sejuk kerana bekalan tenaga terputus hampir seminggu. Kami kini berada di sebuah hotel sehinggalah bekalan elektrik pulih," kata Arham.Seperti Arham, pegawai-pegawai lain dari Malaysia yang berpejabat di New York juga tinggal buat sementara di hotel.Bekalan elektrik yang terputus di New York bagaimanapun semakin beransur pulih tetapi keadaan di New Jersey masih teruk akibat taufan yang melanda.Sehingga Ahad lepas, setelah enam hari taufan Sandy mengganas, ratusan ribu penduduk New Jersey masih lagi diselubungi kegelapan dan mengalami cuaca yang bersuhu sangat rendah.Beberapa pekan di New Jersey menyaksikan pokok-pokok besar tumbang dipukul taufan Sandy, rumah-rumah banyak yang roboh ketika ramai penghuninya bernasib baik tiada di rumah semasa taufan itu bertiup kencang.Keadaan di Hoboken, pekan kelahiran penghibur ikon Frank Sinatra bertukar wajah sehingga tidak dikenali lagi.Pekan yang terletak di New Jersey, bersempadankan bandar New York ini, mengalami banjir besar yang menenggelamkan beberapa batang jalan raya yang sibuk, yang biasanya sesak dengan mereka yang membeli belah, kini kelihatan kosong dan bergelap kerana lampu-lampu jalan tidak berfungsi.Sebuah restoran Malaysia yang popular dengan hidangan sate di Washington Street, Hoboken, masih lagi ditutup untuk hari keenam.Restoran ini sering dikunjungi ramai pelajar Malaysia yang menuntut di Steven's Institute of Technology, yang terletak berhampiran.Ramai bagaimanapun yakin restoran sate ini seperti kelompok beberapa restoran milik rakyat Malaysia di hujung bandar Manhattan yang sudah membuka semula perniagaan, akan bersedia menerima kunjungan pelanggan semula sedikit masa lagi. - BERNAMA