suria

Nike Ingin Jual Divisyen Kasut Cole Haan Selepas Melupuskan Pegangan Umbro

NEW YORK CITY: Gergasi aksesori sukan Amerika, Nike kini sedang dalam rundingan untuk menjual unit kasut dan aksesori Cole Haan kepada Apax Partners pada harga sekitar AS$500 juta, demikian menurut portal berita the New York Times pada Selasa.

Seawal Mei lalu, Nike telah pun memberi indikasi yang ia mahu menjual Divisyen Cole Haan dan juga jenama jersi bolasepak Umbro dan hanya mahu memberi fokus kepada pembangunan jenama seperti Nike Jordan, Converse dan Hurley.

Portal itu memetik sumber yang rapat dengan rundingan itu sebagai berkata bahawa satu perjanjian awal dengan Apax Partners boleh dicapai menjelang minggu depan tetapi pada masa yang sama turut menegaskan yang ia juga boleh terbatal begitu sahaja.

Bulan lalu Nike telah pun mencapai persetujuan dengan Kumpulan Iconix Brand untuk menjual jenama Umbro pada harga AS $225 juta - iaitu separuh daripada apa yang Nike bayar untuk menguasai saham dalam Umbro empat tahun lalu.

Artikel Lain