suria

Menteri Pertahanan Baru Rusia Bukan Sahaja Loyalist Putin Tapi Juga Gemar Aksi Lasak

Sergei Shoigu
Sergei Shoigu
Sergei Shoigu

MOSCOW: Menteri Pertahanan Rusia yang baru, Sergei Shoigu bukan sahaja seorang loyalist kepada Presiden Vladimir Putin tetapi pada masa yang sama turut berkongsi citarasa seperti aksi lasak.

Shoigu, 57, berasal dari daerah pedalaman Tyva Siberia yang bersempadan dengan Mongolia dan dari kalangan kaum minoriti yang diberi tempat dalam kepimpinan tinggi politik Rusia.

Seorang jurutera terlatih, beliau mendaki tangga politik Rusia melalui laluan tradisi mengikut apa yang dipraktikkan ketika era Soviet dahulu.

Beliau bermula dengan bekerja di organisasi pembinaan terlebih dahulu kemudian menjadi aktif dalam Parti Komunis Rusia dengan mengikuti jejak langkah bapanya.

Selepas kejatuhan empayar Soviet, beliau berkhidmat dalam organisasi menyelamat dan kecemasan selama 21 tahun sehinggalah terpilih untuk mengetuai sebuah kementerian yang mengendalikan hal ehwal kecemasan dari tahun 1994 sehingga sekarang.

Kementerian baru yang diketuainya itu bertanggungjawab terhadap segala macam kecemasan - dari mengendalikan kebakaran hutan sehinggalah kepada menyalurkan bantuan kecemasan untuk mangsa-mangsa banjir atau mengangkut mangsa-mangsa malapetaka ke kawasan selamat.

Kejayaannya mengendalikan kementerian tersebut telah menjadikan Shoigu seorang ahli politik yang popular di kalangan rakyat biasa.

Di atas pelbagai inisiatifnya, Shoigu telah diberikan pangkat Jeneral pada tahun 2003.

Sebagai pengikut setia Putin, beliau dilihat sebagai calon yang sesuai untuk mengetuai Kementerian Pertahanan iaitu sebuah kementerian yang sensitif dan memerlukan kerjasama daripada para jeneral untuk berjaya.

Bersama Putin, beliau adalah sebahagian daripada pengasas Parti Russia Bersatu yang dilancarkan pada tahun 2001 selepas kejatuhan Soviet.

Shoigu juga acapkali mengiringi Putin dalam ekspedisi memancing dan menjejaki hidupan liar di kawasan pedalaman Rusia yang merupakan sebahagian daripada hobi masa lapang presiden itu.

Apabila Putin membawa Putera Albert dari Monaco dalam satu ekspedisi memancing di Tyva pada 2007, Shoigu adalah orang ketiga yang dilihat berada di dalam bot berkenaan.

Dan begitu juga dalam ekspedisi menjejaki Harimau Belang Siberia pada tahun 2008, yang didapati berada disisi Putin adalah tidak lain dan tidak bukan, Shoigu.

Manakala tahun lalu, apabila Putin pergi menyelam di selatan Russia dan menemui pelbagai harta purba di dasarnya, Shoigu juga didapati berada di sisi pemimpin Rusia itu.

Isteri Shoigu, Irina dikenali sebagai pengasas Fakulti Industri Sukan ketika berkhidmat sebagai dekan di Universiti Moscow.

Sebelum dilantik sebagai menteri pertahanan yang baru pada Selasa, beliau adalah gabenor wilayah Moscow yang kaya dengan aktiviti ekonomi. Beliau baru sahaja menyandang jawatan itu Mei lalu.

Beliau memenangi jawatan itu dalam pilihan raya wilayah yang baru diperkenalkan oleh Putin sebaik sahaja kembali berkuasa sebagai presiden Rusia untuk kali yang ke-3.

Kini satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan di situ untuk memilih gabenor yang baru bagi mengantikan Shoigu.

Artikel Lain