suria

Taufan Sandy Mungkin Perlahankan Ekonomi Dalam Jangka Pendek

KUALA LUMPUR: Taufan Sandy tidak akan memberikan impak besar kepada ekonomi Malaysia kerana bencana itu hanya menjejaskan ekonomi global dalam jangka pendek, kata perunding S Das & Associates Pty Ltd, Satyajit Das.

"Saya tidak rasa ia akan mempunyai kesan besar dalam jangka panjang kerana dalam jangka pendek ia akan mengurangkan pertumbuhan dan jelas sekali, dalam suku ini dan mungkin dalam suku akan datang. Bahagian pembinaan semula akan dibiayai oleh insurans semula dari luar Amerika Syarikat.

"Apa jadi sekiranya beberapa perkara kita boleh kawal dan beberapa perkara kita tidak boleh kawal. Kita akan terjejas oleh bencana ini tetapi tahap mana kita terjejas tidak diketahui dan kita telah menjadi penerima dalam setahun atau lebih untuk beberapa perkara seperti apabila Jepun membuat keputusan untuk menutup loji nuklear, ia amat baik untuk eksport LNG kita," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk "The End of Growth?" pada Jumaat.

Jumlah kebinasaan ekonomi Taufan Sandy dijangka mencapai US$20 bilion selepas ribut Atlantik terbesar itu melanda bahagian Timur AS, membinasakan rumah dan pejabat serta membanjiri kereta api bawah tanah di bandar yang begitu padat penduduknya di Amerika.

Sandy, merentangi kira-kira 1450 km telah membadai bahagian selatan New Jersey pada hari Isnin dan seterusnya ke Battery Park Manhattan sementara banjir, angin dan pokok tumbang telah memadam kuasa kepada kira-kira lapan juta pengguna dari Carolina Selatan sehinggalah ke Maine dan para penumpang terkandas dengan syarikat penerbangan AS membatalkan kira-kira 16,000 penerbangan.

Urus niaga saham AS turut ditutup awal minggu ini.

"Anda akan menjadi benefisiari kerana kadar faedah anda agak tinggi berbanding pasaran maju. Apa yang kita telah lihat ialah banyak aliran modal yang begitu membantu dalam membiayai pembangunan anda dan lain-lain," kata beliau. "Jika AS, Eropah, China dan Jepun yang menguasai 70 peratus hingga 80 peratus daripada ekonomi dunia dan jika permintaan mereka merosot, adalah sukar untuk tidak melihat Malaysia tidak turut terjejas. "Ini adalah soal tahap kesan terjejasnya. Saya rasa anda boleh lindung diri anda kerana anda mempunyai beberapa industri seperti industri petroleum dan pertanian," tambah beliau.

Das ialah penulis dan pakar antarabangsa dalam pasaran derivatif kewangan dan pasaran modal dengan 30 tahun pengalaman dalam pasaran kewangan.

Ceramah itu dianjurkan oleh Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain