suria

Pelbagai Cara Dilakukan Penumpang Terkandas Untuk Terus Perjalanan

NEW YORK: Pelbagai cara dibuat oleh penumpang terkandas di lapangan terbang untuk mendapat penerbangan seawal yang mungkin pulang ke destinasi masing-masing.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) mendapati mereka sanggup tidur di lapangan terbang dalam cuaca sejuk hanya untuk membolehkan mereka berada di barisan hadapan kaunter syarikat penerbangan menunggu sekiranya nasib mereka baik dapat meneruskan perjalanan pulang.

"Saya dan suami terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tidak mengetahui apa nasib kami, selepas cuba menghubungi syarikat penerbangan gagal, penjadualan semula penerbangan kami, secara online tidak berhasil," kata wartawan hiburan Berita Harian Hanisah Selamat, 38, yang berada di New York sejak 21 Oktober lalu kerana tugasan rasmi, kepada Bernama, semalam.

Beliau dan suaminya Zulkarnain Abdul Rahman, 38, keluar daripada hotel penginapan mereka di Upper Westside, Pulau Manhattan, selepas percubaan mereka menghubungi syarikat penerbangan gagal sejak Sabtu lepas.

Mereka sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada Selasa lepas dengan penerbangan Emirates Airlines dari lapangan terbang JFK ke Kuala Lumpur.

"Kami memberanikan diri mengharungi angin kuat pada hari Ahad, untuk ke pejabat penerbangan itu di 59th Street, yang terletak di tengah-tengah Pulau Manhattan, untuk mendapatkan pengesahan status tiket selepas panggilan dan e-mel tidak berbalas. "Kami berbuat demikian selepas menonton siaran berita televisyen mengenai pembatalan lebih 8,000 penerbangan masuk dan keluar ke New York," katanya.

Beliau berkata cubaannya itu bagaimanapun gagal selepas dimaklumkan pejabat ditutup sehingga Selasa oleh pengawal keselamatan bangunan berkenaan.

"Kami balik ke hotel selepas meredah angin kuat dan hanya duduk di dalam bilik hotel sambil mengikuti perkembangan taufan Sandy.

Tekad untuk mencuba nasib, saya dan suami mengambil teksi ke lapangan terbang pada Selasa, walaupun terpaksa membayar dua kali ganda harga perjalanan biasa.

"Malangannya syarikat penerbangan tidak dapat memberi sebarang pengesahan kerana mereka sendiri masih menunggu jawapan daripada pihak berkuasa New York dan pengurusan syarikat penerbangan itu di Dubai," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Bukan mereka sahaja yang mencuba nasib dengan pergi ke lapangan terbang, sebaliknya beratus lagi yang berbuat demikian dan turut dimarahi pengawal keselamatan yang bertugas di lapangan terbang JFK.

"Kami mengambil keputusan bermalam di lapangan terbang semata-mata tidak mahu terlepas berada di barisan hadapan kaunter syarikat penerbangan walaupun masih lagi tidak mengetahui bila kaunter itu akan dibuka.

"Mujur ada wakil pengurusan lapangan terbangan yang membantu dengan mengagihkan keperluan selimut, bantal dan air serta katil lipat kepada semua penumpang yang terkandas di lapangan terbang itu kerana cuaca yang sangat sejuk.

"Saya rasa sungguh terharu sebab ada pihak yang prihatin tentang nasib kami ini," katanya.

Beliau yang sudah 12 tahun berkhidmat dengan akhbar itu berkata kunjungan ke New York adalah yang pertama baginya untuk membuat liputan pelancaran rekaan terbaharu gedung pakaian H&M di Wall Street.

Hampir 50 wakil media dari seluruh dunia dijemput untuk majlis pelancaran itu.

"Kami bersama ratusan penumpang yang terkandas mempunyai pilihan sangat terhad kerana tidak dapat ke mana-mana, sistem pengangkutan transit yang lumpuh, kedai makanan yang tidak banyak beroperasi, ketiadaan perkhidmatan internet dan telefon awam yang rosak," katanya.

Dengan bantuan rakan setugas di Kuala Lumpur, yang mengenali seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di bandar raya ini, kami berhubung dengannya, dan beliau menjemput kami bermalam di rumahnya serta turut membantu menghubungi pegawai syarikat penerbangan yang beliau kenali untuk mendapat kepastian berhubung tiket kami.

"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran terutama berhadapan taufan dan terkandas, bagi saya pengalaman ini cukup berharga. Sebagai wartawan, saya berpeluang merasai sendiri situasi genting sebelum dan selepas bencana menakutkan ini.

"Pada masa sama saya melihat bagaimana pihak berkuasa tempatan bandar raya maju ini melakukan persediaan awal bagi mengurangkan risiko kemusnahan harta benda dan membahayakan nyawa dengan memberikan amaran awal kepada seluruh warganya beberapa hari sebelum taufan," katanya.

Beliau kini bermalam di rumah kawannya kerana semua bilik hotel sudah penuh dan dijangka berlepas pulang pada 4 Nov. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain