suria

Odissi Ramli Ibrahim Yang Sukar Dilupakan

NEW DELHI: Pada usia 59 tahun, Ramli Ibrahim, masih mampu mempersonakan audiennya dengan kerlingan dan pergerakan mata yang menggamit perhatian, gerak-geri tangkas badan dan kaki semasa mempersembahkan tarian paling silam di India, Odissi.

Mereka, yang pernah menyaksikan persembahan Sutra Dance Theatre, pasti akan mengagumi setiap persembahan beliau yang sungguh menakjubkan itu, baik sebagai seorang penari mahupun pengarah artistik.

Walaupun usianya yang semakin lanjut selain menghadapi pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi sebagai penari budaya berlainan, Ramli masih mampu berjaya menempuh kejayaan dengan Odissi.

Semua itu terbukti dengan Anugerah Akademi Sangeet Natak 2011 yang diterimanya baru-baru ini, pengiktirafan tertinggi yang disampaikan kepada seorang artis oleh Akademi Kebangsaan Muzik, Tarian dan Drama India.

Lebih bermakna apabila anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden India Pranab Mukerjee, sebagai penghargaan di atas sumbangan tiga dekad Ramli terhadap Odissi. Ia adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi seorang rakyat Malaysia di sebuah negara yang mempunyai ramai rakyat yang begitu berbakat seni.

"Anugerah Akademi Sangeet Natak ini adalah sesuatu yang menyeronokkan bagi saya," kata Ramli dengan penuh bangga.

Mengapa pula Odissi begitu istimewa kepada Ramli? Jawapan beliau mudah; "Ia semata-mata sifat lirik Odissi. Lagipun gaya anggun Odissi serasi dengan keMelayuan saya."

Lulusan kejuruteraan dari University of Western Australia ini memperlihatkan minat dan bakat beliau terhadap tarian klasik sejak usia muda lagi.

"Saya serius dengan tarian, saya meminati kesusasteraan dan saya banyak membaca," kata Ramli dan menambah kata beliau membuat keputusan dengan penuh rela hati untuk menjadi penari profesional.

Bagaimanapun, pencapaian Ramli sebagai seorang penari tarian ballet, moden dan klasik India serta pereka tari yang berbakat bukan suatu perjalanan yang mudah.

Pertama, tarian klasik India lazimnya didominasi kaum hawa dan yang keduanya sebagai lelaki Melayu-Islam ia lebih sukar untuk mengamalkan tarian budaya asing kerana minda konservatif masyarakatnya.

"Ketiganya ia pasti bukan mudah untuk meneruskan dengan apa-apa bentuk seni tampak secara profesional dan menguruskan keluarga dengan serentak. Kaum lelaki lazimnya memilih tarian sebagai pilihan terakhir. Saya masih berada dalam bidang ini kerana minat yang mendalam di samping percaya ‘anda wujudkan dunia dan persekitaran anda sendiri," katanya.

Malahan semasa Ramli mula berjinak dalam bidang ini beliau tidak menerima sebarang sokongan daripada keluarga namun mereka tidak pula menghalang beliau daripada mengejar impian.

Namun, ketabahan dan keazaman menjadikan beliau seorang ikon budaya. Beliau bukan sahaja menari sehingga mencapai kemasyhuran malah menyampaikan persembahan-persembahan yang mempersona selain mengasah bakat-bakat terbaik dalam bidang ini.

Sewaktu beliau menampilkan Odissi, sebuah tarian yang berasal dari negeri di timur India iaitu Orrissa, ia adalah satu bentuk tarian yang tidak begitu dikenali walaupun dalam kalangan masyarakat India di Malaysia.

Ramli memainkan peranan instrumental dalam bukan sahaja memperkenalkan semula tarian itu tetapi juga membawa Odissi ke mercu tanda baru.

Beliau juga pernah menganjurkan Festival Odissi Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2008; membawa Sutra ke Carnegie Hall, New York pada tahun yang sama; dan ke Festival Tarian Antarabangsa di New Delhi pada 2010.

Ditanya rahsia di sebalik takbir persembahan hebat Sutra Theater, Ramli berkata; "Banyak tumpuan dan profesionalisme terbabit dalam setiap aspek persembahan.

"Contohnya, kami mengambil akan kombinasi warna. Sementara kontras warna adalah penting, ia seharusnya membawa perbezaan yang tepat," katanya merujuk kepada masa dan tenaga yang dihabiskan dalam persiapan bagi setiap persembahannya.

Jadi apa yang menunggu Ramli dan Sutra Dance Theater beliau selepas ini? "Masa depan Sutra banyak bergantung kepada sokongan kerajaan," katanya.

"Malaysia mempunyai banyak bakat tetapi ia juga banyak bergantung kepada bagaimana ia diurus dan diguna. Kita kini di peringkat tepu. Tiada peruntukan untuk menarik penyertaan mereka yang kebolehan.

"Saya pun bukan muda lagi. Saya rasa untuk Sutra muncul sebagai syarikat profesional memerlukan bakat-bakat sepenuh masa diasah. Kebanyakan penari kita bukan penggiat sepenuh masa. Jadi usaha mereka tidak tertumpu sepenuhnya kepada bakat," keluh Ramli.

Beliau juga mahu agihan lebih meluas pembiayaan bagi pertubuhan-pertubuhan seni tampak di Malaysia, dengan berkata buat masa kini pertubuhan-pertubuhan awam menerima sebahagian besar daripada pembiayaan.

"Pertubuhan-pertubuhan bebas seperti Sutra, terpaksa mencari pembiayaan sendiri dan ini menyebabkan bilangan bakat adalah terhad."

Beliau juga menyeru kepada keluarga-keluarga di Malaysia supaya menggalakkan anak mereka memilih tarian sebagai profesion.

"Saya agak tegas dengan penari pelatih yang berumur 12-13 tahun, di mana mereka lebih bijak dan kita perlu mengasah bakat mereka," katanya.

"Ada penari pelatih yang takut dengan saya," katanya berseloroh.

Ditanya bagaimana beliau mahu dikenangi, Ramli berkata: "Ia tidak penting bagaimana saya akan dikenangi. Yang penting saya meneruskan dengan apa sahaja yang saya mahu dalam hidup.” BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain