suria

Keadaan Sempadan Malaysia-Thailand Terkawal

KOTA BAHARU: Keadaan keselamatan di kawasan sempadan Kelantan dan Thailand sepanjang musim perayaan Aidiladha terkawal dengan adanya gerakan bersepadu 'Ops Merpati' antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

Panglima Lapan Briged Infantri Kem Pengkalan Chepa, Brig Jen Datuk Mohd Zaki Hamzah berkata hasil kerjasama itu kegiatan jenayah dan penyeludupan barangan di kawasan sempadan dapat dikawal.

"Tidak ada kes besar penyeludupan mercun dan bunga api dikesan di kawasan sempadan sepanjang musim perayaan kali ini berbanding tahun lepas. "Saya berharap prestasi gerakan bersepadu ini akan dapat terus dikekalkan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata ATM meletakkan anggota Rejimen Sempadan 1 untuk mengawal kawasan sempadan dari Rantau Panjang, Pasir Mas hingga Batu Melintang, Jeli manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal dari Pengkalan Kubur, Tumpat hingga Rantau Panjang.

"Tiada masalah bagi anggota Rejimen Sempadan I itu berkhidmat sepanjang musim perayaan Aidiladha kerana mereka baru sahaja ditugaskan di kawasan berkenaan pada 20 Oktober lalu selepas mengambil alih dari Rejimen 5 Ranjer," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain