suria

Rakyat Palestin Terharu Pengorbanan Anggota Konvoi Sambut Aidiladha di Gaza

GAZA: Rakyat Palestin bukan saja gembira dengan kedatangan Aidiladha esok, malah terharu dengan pengorbanan 135 sukarelawan antarabangsa meninggalkan keluarga masing-masing untuk merayakan hari mulia itu jauh di perantauan bersama umat Islam di sini.

Ketibaan kafilah (delegasi) yang dianggotai sukarelawan dari lebih 10 negara, termasuk Aman Palestin Bhd dari Malaysia selepas menyeberang sempadan Rafah ke sini, disambut bekas Menteri Buruh dan Hal Ehwal Sosial Palestin Ahmad Al-Kurd.

"Inilah waktu paling istimewa untuk datang ke Bumi Israq dan Mikraj ini iaitu pada petang sambutan Arafah. Kami sungguh terharu dengan pengorbanan yang anda lakukan iaitu meninggalkan keluarga untuk datang membantu kami.

"Kami juga amat berterima kasih atas kesudian anda datang menyambut Aidiladha bersama kami. Anggaplah kami sebagai keluarga anda di sini," katanya kepada delegasi berkenaan di pusat kawalan sempadan di selatan Gaza.

Ahmad berkata berdasarkan peningkatan bantuan serta sumbangan daripada penderma dari seluruh dunia yang diberi kepada rakyat Palestin, mereka yakin pendudukan Israel di Wilayah Palestin akan berakhir tidak lama lagi.

"Kini, kami dapat merasakan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap kami sudah ditarik balik berikutan pelaburan baru dan pertolongan tidak putus-putus yang diberi kepada kami dan pintu kami sentiasa terbuka, terutama kepada umat Islam dari seluruh dunia," kata Ahmad.

Untuk program ini, Aman Palestin menyumbang bantuan bernilai kira-kira US$220,000 dalam bentuk 20 lembu dan 350 biri-biri untuk disembelih sebagai korban sempena Aidiladha dan dagingnya akan diedar bukan saja kepada penduduk di Semenanjung Gaza, tetapi juga di Tebing Barat.

Ketua misi, Anas Abdul Wahab, berkata pertubuhan itu turut membawa wang yang dikumpul untuk didermakan kepada rakyat Palestin.

Katanya ini merupakan kali pertama kumpulan dari Malaysia bergabung dengan sukarelawan dari negara lain yang menjadi sebahagian daripada anggota program '17th Miles of Smiles Convoy Into Gaza'.

Setelah menempuh perjalanan dan pelbagai dugaan selama 14 jam dari Kaherah, termasuk menyelaraskan delegasi dari pelbagai negara dan menunggu begitu lama di pusat kawalan sempadan Rafah, delegasi Malaysia seramai 24 anggota itu, yang terdiri daripada sukarelawan dan petugas media, akhirnya tiba di tengah Gaza pada pukul 3 pagi waktu Malaysia pada Khamis.

Sukarelawan Aman Palestin, yang juga bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut memperkenalkan anggota delegasi Malaysia kepada pihak berkuasa Palestin dan delegasi lain.

Beliau berkata misi kemanusiaan kali ini, yang merupakan pemergian kali kesepuluh Aman Palestin ke Gaza, membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam membela nasib penduduk Palestin.

"Kunjungan kami ke sini menjadi bukti bahawa kerajaan dan rakyat Malaysia akan sentiasa bersama rakyat Palestin," katanya sambil menyeru umat Islam supaya bersatu dan tidak berpecah-belah hanya kerana isu remeh. -BERNAMA

Artikel Lain