suria

OIC Gesa Myanmar Tamatkan Keganasan Dalam Negara

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk rusuhan yang tercetus di daerah Minbyar di negeri Rakhine, Barat Myanmar baru-baru ini, mengakibatkan tiga orang terbunuh dan memusnahkan tempat ibadat serta lebih 400 buah rumah.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu menggesa kerajaan Myanmar supaya mengambil semua langkah yang perlu untuk menamatkan keganasan terhadap puak minoriti Rohingya dan memulihkan ketenteraman.

Laporan menyebut bahawa rusuhan terbaru itu, yang tercetus pada Ahad malam, adalah yang terburuk dilaporkan antara penduduk Islam Rohingya dan penganut Buddha daripada etnik Rakhine, sejak pertempuran kecil melanda wilayah itu pada Jun, menyebabkan sekitar 70,000 orang hilang tempat tinggal.

Ihsanoglu berkata keganasan yang merebak itu adalah kesinambungan peristiwa yang bermula Jun lepas dan mengorbankan beratus-ratus orang manakala beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.

"Laporan mengenai pemindahan paksa, keganasan yang disasarkan kepada wanita, termasuk rogol dan kemusnahan kediaman serta kampung adalah amat dikesali," katanya.

Beliau turut menggesa komuniti antarabangsa supaya mendesak kerajaan Myanmar bagi memastikan keadaan di Rakhine tidak memuncak dan membahayakan nyawa masyarakat awam yang tidak berdosa.

"Pihak berkuasa Myanmar perlu mengembalikan semula hak penduduk Islam Rohingya yang sah, termasuk hak terhadap kewarganegaraan mereka," tegas beliau.

Pihak berkuasa melaporkan bahawa pertempuran terbaru antara umat Islam dan penganut Buddha tercetus di barat Myanmar yang sentiasa bergolak, pada Ahad, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan beratus-ratus buah rumah dibakar. -BERNAMA

Artikel Lain