suria

Jualan Kenderaan Elektrik China Ketinggalan Dari Negara Lain

BEIJING: China mungkin menerajui industri kenderaan elektrik dunia, tetapi jualan kenderaan elektrik yang rendah di negara itu mungkin mengecewakan, demikian menurut penganalisis.

Walaupun China dilihat sebagai pasaran kereta terbesar dunia dengan jumlah penduduk yang besar, hanya 235 kenderaan elektrik dijual pada suku kedua tahun ini, mencatatkan 31 peratus penurunan berbanding 343 unit yang dijual pada suku sebelumnya, demikian menurut laporan oleh perunding pengurusan global McKinsey & Co.

Berbanding dengan pasaran kenderaan besar lain, prestasi China dianggap sebagai penurunan terbesar dalam tempoh yang sama, dengan jualan di Amerika Syarikat mencatat 7,931 unit, peningkatan 28 peratus berbanding suku sebelumnya, manakala di Jepun sebanyak 4,240 unit dijual, Perancis menjual 2,056 unit, dan Jerman menjual 1,284 unit.

China Daily memetik ketua China Auto Hubb McKinsey Axel Krieger sebagai berkata: "bekalan bateri tidak mencukupi, infrastruktur mundur dan pengiktirafan rendah di kalangan pelanggan" adalah faktor utama yang membawa kepada prestasi teruk China itu.

Kurangnya dasar-dasar kerajaan yang menyokong adalah juga antara faktor yang menjejaskan jualan kereta elektrik di negara ini, demikian dilaporkan.

Terdahulu, kerajaan China mengumumkan dana untuk menggalakkan inovasi dalam kereta teknologi hijau, yang akan disalurkan kepada projek elektrik tulen, hibrid, bahan api sel, dan kenderaan berkuasa bateri. - BERNAMA

Artikel Berikut

Apple Lancar iPad Mini Esok

Artikel Lain