suria

Gagal Beri Maklumat Gempa: Tujuh Sainstis Dipenjara di Itali

L’AQUILA: Mahkamah Itali mendapati tujuh saintis bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat selepas gagal memberi amaran kepada orang ramai mengenai gempa bumi yang berlaku di tengah negara itu pada 2009 yang mengorbankan lebih 300 orang.

Mahkamah di L’Aquila menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap semua anggota Suruhanjaya Risiko Bencana negara itu.

Saintis di seluruh dunia menyifatkan perbicaraan berkenaan sebagai tidak munasabah kerana penemuan sains masih tidak dapat meramalkan dengan tepat mengenai gempa bumi.

Antara mereka yang dihukum ialah beberapa nama pakar geologi dan seismologi terkenal serta dihormati di dunia, termasuk Enzo Boschi, iaitu bekas Pengarah Institut Geofizik dan Gunung Berapi Itali.

"Saya ingat tuduhan terhadap saya digugurkan. Saya sendiri tidak faham kenana saya didakwa," kata Boschi selepas hukuman dibacakan.

Perbicaraan itu bermula September 2011 di pekan Apennine yang teruk musnah akibat gempa berkenaan yang sehingga sekarang diibaratkan seperti 'bandar hantu'.

Tuduhan yang dikenakan terhadap mereka ialah tidak menyampaikan maklumat yang tepat, jelas dan berbeza sama ada ia ia satu gegaran kecil atau sebaliknya kepada penduduk di pekan itu dalam masa seminggu atau sebulan sebelum gempa melanda pada 6 April 2009.

Gempa berukuran 6.3 magnitud itu mengorbankan 308 orang dengan kebanyakan penduduk terpaksa berlindung di khemah selama berbulan lamanya. - AP

Artikel Berikut

Apple Lancar iPad Mini Esok

Artikel Lain