suria

Pengurus Di Singapura Puas Hati Dengan Pekerjaan Mereka

SINGAPURA: Majoriti pengurus di Singapura (74 peratus) berpuas hati dengan pekerjaan mereka, demikian menurut satu kaji selidik oleh Singapore Institute of Management (SIM).

SIM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata kaji selidik itu mendapati paras kepuasan paling tinggi di kalangan eksekutif peringkat tinggi (84 peratus) berbanding pengurusan peringkat sederhana (70) peratus.

Mengenai ekonomi global, ia berkata 16 peratus responden melahirkan keyakinan mereka berbanding hanya 6 peratus pada 2009.

Pengurus republik (45 peratus) lebih positif tentang ekonomi Singapura sekarang berbanding 12 peratus pada 2009 semasa kemelesetan ekonomi ketika kaji selidik itu kali pertama dijalankan.

Wilson Wong, pensyarah kanan Kajian Perniagaan SIM University berkata peningkatan ketidakpastian itu adalah disebabkan hakikat bahawa "kita masih lagi terperangkap dalam krisis ekonomi global, lebih daripada tiga tahun selepas ia bermula.

"Keadaan tidak pasti ini diburukkan lagi oleh ketidakupayaan bank-bank pusat utama dan kerajaan di Barat untuk mencapai pemulihan ekonomi kukuh meskipun menyuntik trilion dolar ke dalam ekonomi mereka.

"Ekonomi-ekonomi ini merupakan pasaran eksport utama bagi Singapura," katanya.

Wong berkata pengurus Singapura secara umumnya lebih positif tentang ekonomi Singapura, dan prospek kerjayanya mereka berikutan hakikat bahawa tiga rakan dagang utama kita (iaitu Malaysia, China dan Indonesia) masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi pesat.

"Sebagai contoh, Malaysia, rakan dagang terbesar kita mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK memberangsangkan pada 5.4 peratus dalam suku Ke-2, 2012," katanya.

Di masa depan, katanya, ketidakpastian akan ekonomi tempatan dan global dijangka meningkat memandangkan fundamental makroekonomi global yang makin merosot sejak suku lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain