suria

Malaysia Berminat Import Gandum Dari India

NEW DELHI: Malaysia berusaha mengimport gandum dari India buat jangka panjang melalui saluran diplomatik, demikian menurut laporan akhbar The Hindu.

Menteri Pertanian Malaysia, Noh Omar, berbincang untuk meneroka kemungkinan mengimport gandum itu dengan Menteri Makanan India, K.V. Thomas, Khamis, katanya.

Malaysia sememangnya mengimport gandum dari India, tetapi dalam jumlah yang kecil dan kebanyakannya melalui perdagangan persendirian.

"Mereka berminat untuk mengimport gandum bagi jangka panjang. Kita telah meminta mereka menghantar satu pasukan teknikal untuk menilai kualitinya. Setelah membuat keputusan, mereka boleh meneruskannya," kata Thomas kepada pemberita.

Menteri Makanan itu berkata, eksport itu akan diambil dari simpanan pusat.

Eksport gandum dari India meningkat ekoran permintaan yang semakin bertambah dan berikutan kekurangan bekalan dunia.

Thomas berkata setakat ini, jumlah eksport di bawah lesen am terbuka telah mencecah 6.3 juta tan metrik.

India menghasilkan 93.9 tan metrik gandum tahun lepas yang merupakan paras tertinggi dalam sejarah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain