suria

Jumlah Penumpang Lapangan Terbang Changi Naik 4.8 Peratus Pada September

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi Singapura mengendalikan empat juta penumpang bulan lepas, meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi asas 12 bulan, 49.9 juta pengembara melalui Lapangan Terbang Changi, naik 9.7, demikian menurut Changi Airport Group (Singapore) Pte Ltd (CAG) dalam satu kenyataan.

Bagi bulan berkenaan, ia berkata pergerakan penumpang ke dan dari Timur Tengah dan barat daya Pasifik mencatatkan pertumbuhan dua angka tetapi pertumbuhan bagi Asia Tenggara dan Timur Laut Asia, dua rantau pasaran terbesar, turun pada satu angka.

Mengenai pergerakan penerbangan, CAG berkata sebanyak 26,500 pendaratan dan pelepasan dicatatkan bulan lepas, pertumbuhan empat peratus berbanding September tahun lepas.

Bagi 12 bulan yang berakhir pada September 2012, Lapangan Terbang Changi menguruskan 320,400 pergerakan pesawat, 10.3 peratus lebih daripada tempoh sama sebelumnya.

Bagi muatan kargo pula, sebanyak 153,700 tan fret udara dikendalikan di Lapangan Terbang Changi, susut 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Setakat ini pada tahun ini, Lapangan Terbang Changi menerima tiga syarikat penerbangan baharu iaitu Scoot, syarikat penerbangan Bhutan, Drukair, pengangkut kargo Yangtze River Express dan kembalinya syarikat penerbangan Indonesia, Mandala Airlines.

Penyambungan Lapangan Terbang Changi juga bertambah dengan adanya sambungan ke Gold Coast di Australia, Paro di Bhutan, Kota Baharu di Malaysia dan Taiyuan, ibu negeri wilayah di China, Wilayah Shanxi.

Sehingga 1 Oktober, lapangan terbang berkenaan menyambungkan ke 230 bandar raya di 60 negara dan wilayah, serta berkhidmat kepada 100 syarikat penerbangan beroperasi dengan lebih 6,300 penerbangan mingguan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain