suria

Sepanyol Belum Mohon Bantuan Dana Mekanisme Kestabilan Eropah

BANGKOK: Sepanyol belum lagi membuat sebarang permintaan rasmi untuk mendapatkan bantuan dana Mekanisme Kestabilan Eropah yang bernilai 500 bilion Euro.

Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Olli Rehn hari ini berkata, ia akan bertindak sekiranya terdapat permintaan berkenaan.

Sepanyol kini dalam hala tuju yang betul dalam menstabilkan ekonominya dan negara itu telah bersedia untuk memulihkan kembali struktur ekonominya, kata beliau selepas menghadiri mesyuarat satu hari Menteri-menteri Kewangan Asia Eropah di sini.

Rehn diminta mengulas berhubung permintaan itu kerana dilaporkan yang ekonomi utama zon Eropah, Jerman, enggan membenarkan Sepanyol akses kepada ESM, iaitu dana menyelamat yang ditubuhkan oleh negara-negara Eropah untuk membantu ekonomi dan bank-bank yang bermasalah.

Standard and Poor baru-baru ini telah menurunkan penarafan hutang kedaulatan Sepanyol daripada BBB+ kepada BBB-.

Menjawab pertanyaan lain, beliau berkata yang tiada keputusan muktamad agar Greece diberikan lebih masa dalam memenuhi sasaran menurunkan defisitnya.

Pengarah Urusan Dana Monetari Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde dilaporkan sebagai berkata di Tokyo baru-baru ini yang Greece memerlukan dua tahun lagi untuk memenuhi komitmen itu.

Rehn berkata tiada keputusan dibuat memandangkan Greece masih lagi menggariskan struktur dasar fiskalnya dan tempoh masa yang panjang yang dibayangkan oleh IMF hanya sekadar kemungkinan.

Greece kini berhadapan dengan pusingan getir langkah berjimat cermat yang dilaksanakan oleh negara itu sebagai pulangan untuk pinjaman yang dijanjikan dan bantuan hutang bernilai 347 bilion Euro.

Menurut IMF, hutang awam Greece telah melonjak 160 peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahun lepas kepada 170 peratus tahun ini, dan dijangka meningkat kepada 182 peratus tahun depan kerana negara sedang bergerak ke arah kemelesetan untuk tahun keenam berturut-turut.

Kadar pengangguran juga telah meningkat 25 peratus di Greece. - BERNAMA

Artikel Lain