suria

Kelembapan Pertumbuhan Ekonomi Jejas Orang Terkaya China - Forbes

SINGAPURA: Pertumbuhan ekonomi yang lembap memberi kesan ke atas sebilangan kekayaan terbesar China, demikian menurut senarai baharu orang terkaya China Forbes Asia.

Senarai itu menunjukkan penyusutan tujuh peratus nilai kekayaan 100 orang terkaya China kepada US$220 bilion.

Raja minuman, Zong Qinghou dari Wahaha China kembali mengungguli senarai orang terkaya China Forbes tahun ini.

Beliau yang menduduki tempat teratas dalam senarai 2010, mencatatkan kekayaan bernilai US$10 billion, meningkat US$3.5 bilion daripada tahun sebelumnya.

Pengerusi Suning Appliance, Zhang Jindong, menyaksikan nilai kekayaannya susut US$2.4 bilion, walaupun beliau mengatasi pesaingnya, Wong Kwong Yu dari Gome, yang mengalami penyusutan nilai kekayaan sebanyak US$2 bilion.

Beberapa tikun harta juga mengalami penyusutan nilai kekayaan masing-masing.

Ini termasuklah Liang Wengen, pengerusi Sany Group yang menyaksikan penyusutan nilai kekayaan sebanyak US$3.4 bilion apabila permintaan merosot bagi kelengkapan bangunan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu.

Beliau menduduki tempat ke-6 dalam senarai itu dengan nilai kekayaan US$5.9 bilion.

Kekayaan Robin Li, rakyat China terkaya mengikut perkiraan bilionair Forbes awal tahun ini, susut kepada US$8.1 bilion disebabkan oleh kejatuhan saham enjin cariannya, Baidu.

Bagaimanapun, Ma Huateng dari Tencent, menyaksikan kedudukannya meningkat ke tempat keempat daripada ke-13 dengan nilai kekayaan US$6.4 bilion.

Penawaran syarikatnya termasuklah pesanan segera dan permainan dalam talian. Jack Ma dari Alibaba Group pula meningkat ke tempat ke-11 dengan nilai kekayaan US$3.4 bilion.

Pan Zhengmin, pengasas bersama pembekal AAC Technologies Apple berada semula dalam senarai 100 terkaya itu dengan nilai kekayaan US$2.1 bilion.

Russell Flannery, editor kanan dan ketua biro Shanghai Forbes, berkata: "Agak jarang berlaku nilai kekayaan nama-nama dalam senarai kami merosot.

"Tetapi kemerosotan ini lebih baik berbanding kejatuhan keseluruhan indeks utama Bursa Saham Shanghai.

"Ini menunjukkan masih ada peluang pertumbuhan di China meskipun dalam keadaan ekonomi yang muram kebelakangan ini," katanya.

Zhou Jiangong, ketua pengarang Forbes China, menambah: "Pendek kata senarai tahun ini mencerminkan keadaan tidak menentu yang boleh timbul daripada perkembangan ekonomi China yang semakin sederhana." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain