suria

Liew Mungkin Dapat Hadiri Perkahwinan Anak Gadisnya

MELBOURNE: Lelaki yang disabit dan dihukum penjara kerana membunuh pakar bedah jantung Dr Victor Chang pada 1991, dijangka dapat menghadiri perkahwinan anak gadisnya di Malaysia pada 20 Oktober ini.

Ini susulan Peguam Negara bagi New South Wales (NSW) Greg Smith yang memutuskan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Agung yang membenarkan keputusan rakyat Malaysia itu dibebaskan menerusi parol.

Mahkamah Agung NSW pada Khamis menolak permohonan kerajaan negeri NSW untuk menangguhkan pelaksanaan parol Liew Chiew Seng yang didapati bersalah menembak mati Dr Chang di Sydney.

"Saya mempertimbangkan penghakiman itu dengan hati-hati dan memutuskan untuk tidak merayu," kata Smith dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Smith juga memuji keteguhan semangat keluarga Dr Chang sepanjang menghadapi masa sukar itu.

Liew akan diserahkan kepada pihak imigresen bagi urusan penghantaran balik ke Malaysia yang dijangka Isnin ini.

Anak gadisnya, Liew Kwei Fe memberitahu Australian Associated Press pada Khamis, beliau berharap bapanya akan dibebaskan dan berada di tanah air ketika majlis perkahwinannya berlangsung.

"Saya berharap dia akan ada di sisi saya ketika saya berkahwin," katanya ketika dihubungi.

Keluarga Liew di Malaysia dilapor gembira mendengar berita pembebasan lelaki itu dan berhasrat mengadakan perjumpaan keluarga.

Awal tahun ini, pihak berkuasa parol diberitahu Liew, 69, yang menghidap penyakit Parkinson kesuntukan masa untuk meninggalkan Australia sebelum kesihatannya menghalang lelaki itu melakukan perjalanan jauh.

Liew telah menjalani 21 daripada 26 tahun tempoh hukuman penjaranya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain