suria

Pelabur Australia Berpeluang Melabur Dalam Bon Islam

MELBOURNE: Pengurus kekayaan Islam dari Australia Crescent Wealth telah bekerjasama dengan Bank of London and The Middle East (BLME), bank Islam terbesar di Eropah, dalam perjanjian yang memberikan pelabur runcit Australia pendedahan untuk pertama kalinya kepada bon Islam.

Berikutan usaha sama itu, pelabur dalam Dana Pengurusan Tunai Islam Crescent akan mendapat pendedahan kepada pasaran global bon patuh syariah atau sukuk, kata Crescent Wealth dalam satu kenyataan.

Sukuk menjana pulangan etika yang disokong oleh aset sebenar.

Portfolio itu akan diuruskan oleh BLME, pembekal terkemuka global produk pendapatan tetap patuh syariah.

Pengarah urusan dan pengasas Crescent Wealth, Talal Yassine, berkata: "Perkongsian kami dengan BLME, adalah penting kerana ia membuktikan Australia dilihat sebagai pasaran yang membangun untuk pengurusan dana Islam.

Ketua Pengurusan Kekayaan di BLME Nigel Denison berkata BLME telah baru-baru ini melihat peningkatan pelabur antarabangsa untuk Sukuk kerana prestasi kredit yang baik telah membuktikan sukuk berdaya tahan terhadap kelembapan ekonomi dunia.

"Aset perbankan Islam global melebihi US $ 1 trilion dan dijangka berkembang kepada US$2 trilion menjelang 2017. Di samping itu, kira-kira US$58 bilion dalam dana yang diuruskan dilaburkan dalam ekuiti patuh Syariah. Sukuk telah mengatasi tahap sebelum krisis kewangan dan dijangka berkembang pesat pada tahun-tahun akan datang," kata Denison.

Ditubuhkan pada 2010, Crescent Wealth telah melancarkan dana ekuiti pengurusan tunai Australia.

Yassine, berkata firmanya memanfaatkan potensi dana Islam di Australia, yang dianggarkan berkembang sebanyak A$22 bilion dalam dana di bawah pengurusan menjelang 2020. - BERNAMA

Artikel Lain