suria

Indonesia Dalam Berjaga-Jaga Sempena Memperingati Ulang Tahun Ke-10 Peristiwa Pengeboman Bali

DENPASAR: Kerajaan Indonesia mengeluarkan arahan berjaga-jaga tahap tinggi kepada semua agensi keselamatannya pada hari mereka memperingati ulang tahun ke-10 peristiwa pengeboman Bali yang mengorbankan 202 nyawa.

Timbalan Ketua Polis I Bali, Ketut Untung Yoga Ana memberitahu agensi berita AFP, terdapat maklumat yang boleh dipercayai yang mengatakan wujudnya ancaman ke atas majlis memperingati peristiwa tersebut yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard adalah di antara kenamaan yang dijadualkan untuk hadir majlis berkenaan itu nanti.

Dalam dua insiden letupan bom berani mati itu yang berlaku di kawasan kelab malam yang padat di Kuta, pada 12 Oktober 2002, 202 orang awam termasuk 164 pelancong luar telah terbunuh.

Menurut Ketut, maklumat yang diterima oleh pihak keselamatan menunjukkan terdapatnya bukti yang pihak pengganas sedang merancang sesuatu pada hari memperingati kejadian pengeboman Bali itu.

"Ini di sebalik segala langkah mengetatkan pemeriksaaan keselamatan di semua pintu masuk ke Bali telah dilakukan," ujarnya lagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, jelasnya, pihak keselamatan akan menempatkan tidak kurang dari 1,000 anggota keselamatan termasuk penembak hendap di kawasan yang akan berlangsungnya majlis memperingati mangsa-mangsa pengeboman Bali.

Gillard dijadualkan untuk menyampaikan ucapan bagi mengenang 88 rakyat Australia yang terkorban dalam kejadian di Kelab Malam Sari dan Paddy di daerah Kuta yang sememangnya terkenal dengan tumpuan pelancong luar.

Menjelang Jumaat ini, para sahabat handai dan juga sanak saudara mereka yang terkorban dalam kejadian itu akan mula membanjiri pulau ini.

Keadaan di Indonesia agak aman tanpa sebarang ancaman pengganas sejak 2009 iaitu apabila dua letupan berlaku di dua buah hotel lima bintang di Jakarta mengorbankan sembilan orang mangsa.

Bali juga merupakan destinasi pelancongan yang popular di kalangan warga Australia.

Artikel Lain