suria

Lebih 20,000 Warga London Kunjungi Majlis Malam Malaysia 2012

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 penghuni kota London menghadiri majlis Malam Malaysia 2012 yang menampilkan sambutan meriah dengan menonjolkan masakan, produk, kebudayaan dan tradisi terbaik Malaysia.

Program tersebut, diadakan buat kali ketiga di Trafalfar Square dan bermula 12 tengah hari hingga 10 malam, dianjurkan bagi menarik pelancong melawat Malaysia serta menerokai peluang perniagaan di negara ini.

Sejak dua tahun lepas, program dihoskan oleh Malaysia Kitchen diadakan di London dan tempat lain di United Kingdom, mencapai kejayaan besar dalam mempromosikan serta menjana kesedaran mengenai Malaysia.

Majlis itu dihadiri oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Wong Lai Sum, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong, pereka kasut terkenal Malaysia, Datuk Dr Jimmy Choo dan Ahli London Assembly, James Cleverly.

Pengacara majlis Caroline Mi Li, yang juga Chef TV Malaysia, berkata majlis Malam Malaysia Jumaat lepas, adalah satu kejayaan besar.

"Walaupun cuaca lembap sedikit berbanding tahun-tahun sebelum ini namum cuaca hujan tidak menghalang pengunjung daripada datang beramai-ramai untuk merasai suasana Malaysia sebenar," katanya.

Lebih 10,000 risalah panduan mengenai 64 buah restoran Malaysia di United Kingdom diedarkan kepada pengunjung sebagai sebahagian daripada Program Kitchen Malaysia.

Pengunjung yang tertarik dengan keenakan masakan Malaysia turut merngambil kesempatan untuk membeli bahan dan rempah yang perlu bagi menyediakan sajian ala Malaysia untuk keluarga masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Chuanglee Ltd, Jimmy Chua, berkata warga kota London menunjukkan kesungguhan di sebalik keadaan cuaca hujan dengan turun dalam jumlah besar untuk merasai sajian Malaysia.

"Kami tidak terputus-putus dengan kunjungan pelanggan mulai 12 tengah hari hingga 10 malam. Ada sebilangan pengunjung menunggu di luar sebelum kami membuka perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Jumlah nilai jualan meningkat 40 peratus pada malam itu berbanding tahun lepas," jelasnya.

Selain, itu Tourism Malaysia dan Malaysia Airlines juga menawarkan pakej pelancongan yang mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung pada malam itu. - BERNAMA

Artikel Lain