suria

India Lulus Status Antarabangsa Lima Lagi Lapangan Antarabangsa

NEW DELHI: Kerajaan India meluluskan dan mengisytiharkan lima lagi lapangan terbang sebagai lapangan terbang antarabangsa bagi memenuhi permintaan kerajaan selain menawarkan penyambungan antarabangsa yang lebih baik serta memberi pilihan perkhidmatan yang lebih luas pada kos perjalanan udara yang lebih kompetitif.

Dua daripadanya di negeri Uttar Pradesh - Chaudhary Charan Singh Airport Lucknow dan Lal Bahadur Shastri Airport Varanasi.

Dua yang lain di Tamil Nadu iaitu Tiruchirapalli dan Coimbatore serta Mangalore Airport di Karnataka.

"Semua lapangan terbang ini berupaya mengendalikan pesawat pelbagai jenis kapasiti sederhana dan dilengkapi kemudahan untuk operasi malam," kata kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal ekonomi.

Menurut kenyataan itu, semua kerja untuk menaik taraf lapangan terbang sudah siap.

Keputusan itu dijangka memberi dorongan ke atas pelancong domestik dan antarabangsa dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di wilayah masing-masing, katanya.

AirAsia Malaysia sudah pun beroperasi di Lapangan Terbang Tiruchirapalli.

Perubahan untuk menaik taraf lapangan terbang domestik kepada lapangan terbang antarabangsa membabitkan penyediaan kemudahan imigresen dan pekerja untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Kerajaan merancang menyediakan 500 lapangan terbang menjelang 2020 dan menyasarkan menarik pelaburan swasta untuk infrastruktur penerbangan bagi memenuhi keperluan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain