suria

Peraturan Menteri Tangani Masalah Pergaduhan Pelajar

JAKARTA: Kes-kes pergaduhan yang berlaku antara kumpulan pelajar sekolah di Jakarta sejak kebelakangan ini, mendorong Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia untuk mengeluarkan peraturan menteri bagi mengangani masalah itu.

Bakal dinamakan sebagai Peraturan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan (Permendikbud) tentang Pencegahan Keganasan dan Pergaduhan Pelajar dan Penanganannya, ia akan turut memperuntukkan hukuman terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Peraturan itu, yang akan terpakai untuk semua pihak bermula daripada pelajar, ibu bapa, guru, persatuan pelajar sekolah hinggalah kepada pengetua sekolah, adalah berkaitan langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku pergaduhan.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Mohammad Nuh berkata peraturan itu bertujuan menguatkuasakan disiplin di sekolah dan mengelakkan pelajar daripada pengaruh buruk, terutamanya yang berkaitan dengan keganasan dan pergaduhan pelajar. "Bentuknya seperti prosedur operasi standard (SOP), termasuk juga mengatur tentang hukuman. Jadi semuanya terbuka untuk dikenakan hukuman, murid, guru, pengetua sekolah, juga institusi sekolah itu sendiri," Muhammad Nuh dipetik sebagai berkata oleh portal berita kompas.com pada Rabu.

Menteri itu malam tadi menghadiri pertemuan dengan Polis Kontinjen Jakarta, pengetua sekolah di Jakarta dan beberapa kawasan sekitarnya serta para tokoh pendidikan bagi membincangkan langkah-langkah mencegah berlakunya pergaduhan di antara pelajar sekolah.

Pergaduhan kumpulan pelajar dari sekolah berlainan yang berlaku di Jakarta sejak kebelakangan ini membimbangkan masyarakat kerana ia mengakibatkan dua pelajar yang berumur belasan tahun terbunuh.

Pada 24 September lepas, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Atas Negeri 6 Jakarta Selatan, terbunuh dalam pergaduhan antara kumpulan pelajar sekolahnya dengan kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Atas Negeri 70 Jakarta Selatan.

Dua hari kemudian seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Atas Yayasan Karya 66 pula terbunuh dalam pergaduhan antara kumpulan pelajar sekolahnya dengan kumpulan pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kartika Zeni, juga di Jakarta Selatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain