suria

Lima Maut, 18 Cedera Akibat Letupan Paip Minyak Di Sumatera Selatan

JAKARTA: Lima terbunuh dan 18 lagi cedera akibat letupan dan kebakaran berhampiran saluran saluran paip minyak mentah milik sebuah syarikat minyak di Banyung Lencir, Musi Banyuasin, Sumatera Selatan, pada Rabu.

Kejadian pada kira-kira pukul 6 pagi itu dipercayai berpunca daripada perbuatan mencuri minyak mentah oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Pihak polis Sumatera Selatan bagaimanapun menyatakan bahawa ia masih menyiasat punca kejadian.

Satu laporan yang memetik jurucakap syarikat Pertamina EP, iaitu anak syarikat PT Pertamina yang terlibat dalam kegiatan di sektor huluan, menyebut bahawa syarikat itu telah menghentikan pengedaran minyaknya melalui paip Tempino-Plaju di Bayung Lencir, berikutan kejadian letupan berhampiran saluran paip minyak itu.

Sementara itu laporan yang dimuatkan di laman web Pertamina EP pula menyebut bahawa kebakaran yang berlaku di Bayung Lencir itu berjaya dikawal pada pukul 11.50 pagi, oleh pasukan Pertamina dengan bantuan pelbagai pihak tempatan.

Laporan itu berkata, kebakaran di km 219, daerah kecil Bayung Lencir itu dipercayai berpunca daripada perbuatan mencuri minyak mentah daripada paip Tempino-Plaju berdasarkan penemuan bukti di sekitar kawasan tempat kejadian.

"Setakat ini, lima orang meninggal dunia dan 18 lagi cedera melecur.

"Pertamina sangat kesal dengan kegiatan pencurian minyak yang masih sering berlaku di saluran paip minyak Tempino-Plaju hingga sekarang. Kegiatan pencurian ini tidak saja merugikan negara hingga ratusan bilion rupiah tetapi juga telah mengakibatkan kebakaran dan menimbulkan korban jiwa," kata laporan itu.

Ia menyebut bahawa kegiatan pencurian minyak di saluran paip Tempino-Plaju amat membimbangkan dan kerugian yang dicatat sehingga kini mencapai lebih Rp200 bilion.

Kegiatan mencuri minyak mentah itu meningkat sejak pertengahan tahun 2012 dan dalam lima bulan terakhir ini, kehilangan minyak mentah yang dicatat oleh syarikat itu ialah 36,587 tong (Mei), 60,554 tong (Jun), 68,037 tong (Julai), 48,325 tong (Ogos) dan 29,001 tong (September).

Daerah kecil Bayung Lencir merupakan wilayah yang mencatat angka pencurian yang tertinggi iaitu 158 kes pada 2011 dan pada tahun ini hingga September, ia meningkat menjadi 373 kes, kata laporan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain