suria

India Rancang Perluas Visa Ketibaan Untuk Thailand, Malaysia

NEW DELHI: Kerajaan India merancang memperluas kemudahan visa ketibaan (VOA) untuk negara seperti Thailand and Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong beragama Buddha, kata Menteri Pelancongan Subodh Kant Sahai.

Beliau berkata India, sebagai negara asal kelahiran Buddha, merupakan tarikan utama kepada pelancong yang menganuti agama itu dari seluruh negara.

"Kementerian Pelancongan kini merangka pelan bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara yang mengamalkan ajaran Buddha dengan menyediakan kemudahan khusus kepada mereka," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Buddha Antarabangsa yang berlangsung selama dua hari di Varanasi.

Antara kemudahan yang disediakan untuk pelancong dari negara yang mempunyai ramai penganut Buddha seperti Thailand dan Malaysia ialah visa ketibaan, katanya. Ketika ini, kemudahan VOA di India terpakai untuk 11 negara termasuk Jepun, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Kemboja.

Perhimpunan itu diadakan bagi mempamerkan Warisan Buddha India.

Delegasi pada perhimpunan itu termasuk cendekiawan Buddha Antarabangsa, pengusaha pelancongan serta media dari dalam dan luar negara, yang aktif mempromosi Pelancongan Buddha.

Peserta adalah dari lebih 30 negara seperti Australia, Belgium, Bhutan, Kemboja, Kanada, China, Perancis, Belanda, Hungary, Indonesia, Itali, Jepun, Laos, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Republik Korea, Rusia, Thailand dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain