suria

Pembikin Filem Hina Nabi Muhamad Ditahan Di Los Angeles AS

LOS ANGELES: Agensi berita AP melaporkan, lelaki di belakang pembikinan filem kontroversi anti-Islam yang kini mencetuskan kemarahan di seluruh dunia telah ditahan oleh pihak berkuasa Amerika.

Nakoula Basseley Nakoula, 55, telah ditahan kerana didapati melanggari syarat berkelakuan baik yang dikenakan ke atasnya oleh kerajaan pusat setelah didapati bersalah dalam satu kes menipu pada 2010.

Di bawah syarat-syarat berkelakuan baik itu ialah dia dilarang menggunakan komputer atau internet selama lima tahun tanpa memperolehi kebenaran terlebih dahulu daripada pegawai penyelianya.

Nakoula telah ditahan pada Khamis oleh kerajaan persekutuan, kata jurucakap Jabatan Peguam Negara, Thomas Mrozek.

Satu tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Khamis depan oleh Mahkamah Daerah Amerika untuk mendengar kes terbaru Nakoula ini.

Protes meletus di seluruh dunia ekoran filem pendek berdurasi 14 minit Nakoula yang dimuat naikkan di laman YouTube menghina Nabi Muhamad berjudul "Innocence of Muslims".

Nakoula, yang berasal dari Mesir telah menyembunyikan diri setelah isu mengenai filemnya itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Apabila filem ini mendapat perhatian dunia, Nakoula telah memanggil sidang akhbar dan mempertahankan tindakannya tetapi menggunakan identiti palsu iaitu sebagai Sam Bacile.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, AP telah membongkarkan tidak wujud manusia bernama Bacile sebaliknya orang sebenar di sebalik pembikinan filem itu bernama Nakoula.

Nakoula pernah memiliki stesen minyak dan mempunyai rekod penyalahgunaan dadah juga mempunyai sejarah menukar nama.

Pranonton kepada filem itu masih boleh dilihat di YouTube di beberapa buah negara.

Bagaimanapun di Amerika, pentadbiran Barrack Obama telah mengarahkan Google, iaitu rakan kongsi YouTube supaya menarik keluar pratonton filem itu tetapi enggan dipatuhi atas alasan ia tidak melanggar mana-mana syarat standard kandungan yang ditetapkan.

Artikel Berikut

Artikel Lain