suria

Orang Terkaya Georgia Ivanishvili Kini Calon Popular Untuk Jawatan Presiden

TBILISI: Anak kepada seorang miskin yang papa kedana tetapi kini merupakan manusia terkaya di negaranya sendiri muncul sebagai calon popular dan pilihan untuk memenangi jawatan presiden dalam pemilihan yang akan berlangsung Isnin depan.

Bidzina Ivanishvili percaya yang beliau boleh memimpin negaranya sepertimana beliau berjaya memimpin empayar perniagaannya sehingga muncul sebagai manusia terkaya Georgia.

Beliau juga disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai manusia yang ke-153 terkaya di dunia dengan aset bernilai AS$6.4 bilion.

Ivanishvili telah berikrar yang partinya akan menumpaskan parti pimpinan Presiden Mikheil Saakashvili dalam pemilihan parlimen Isnin ini.

Sejak menyertai politik kurang lebih setahun yang lalu, Ivanishvili telah melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh pemimpin yang terdahulu daripadanya iaitu menyatu padukan kumpulan pembangkang yang selama ini berpecah belah.

Ivanishvili merupakan ahli perniagaan paling berjaya dalam sejarah Georgia.

Dilahirkan di sebuah perkampungan yang daif, Ivanishvili membuat keuntungan ketika Rusia sedang beralih dari era komunisma kepada kapitalisme pada tahun-tahun 1990an yang menyaksikan para usahawan membuat wang melalui projek penswastaan agensi milik negara seperti minyak dan gas asli.

Bersama rakan kongsi Rusianya, Vitaly Malkin, mereka mula menjual komputer dan kemudiannya menubuhkan bank perdagangan yang dinamakan Rossiyskiy Kredit Bank.

Pada masa yang sama mereka turut membeli kepentingan dalam perlombongan besi sebelum menjual kepentingan berkenaan untuk melabur dalam pasaran bursa saham Moscow.

Beliau juga turut memiliki rangkaian kedai-kedai farmasi di seluruh negara disamping turut melabur di dalam industri hartanah mewah dan juga industri asas tani.

Dan sebagai dermawan, Ivanishvili turut menderma berjuta-juta dolar untuk projek pemulihan monumen-monumen bersejarah Georgia, teater, muzium dan sekolah.

Malah dia juga menderma untuk membina gereja ortodoks terbesar di Georgia.

Di samping itu wangnya itu turut didermakan untuk membantu para seniman berkarya dan juga para intelektual berkarya.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, beliau turut menderma kepada kerajaan untuk membeli seragam tentera.

Sepertimana jutawan yang lain, Ivanishvili turut mengumpul hasil karya seni.

Pada 2008, beliau mengeluarkan AS$95 juta untuk membeli lukisan Pablo Picasso berjudul "Dora Maar with Cat".

Dan kompleks kediamannya yang besar di sini direka oleh arkitek terkenal Jepun, Shin Takamatsu.

Di kampung kelahirannya sendiri, Ivanishvili telah membina rumah untuk rakyat miskin, hospital dan sekolah.

Sehingga 2011, tidak ramai yang tahu bagaimanakah rupa jutawan ini sehinggalah beliau mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan presiden.

Artikel Lain