suria

Tiada Harapan Untuk Temui Mangsa Runtuhan Salji Di Puncak Gunung Ke-8 Tertinggi Di Dunia

CHAMONIX: Pasukan penyelamat telah putus harapan untuk menemui mana-mana mangsa salji runtuh yang masih selamat selepas menemui sembilan mayat pendaki dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Nepal.

Naib Presiden Kesatuan Jurupandu Gunung Kebangsaan, Christian Trommsdorff berkata, selepas menghubungi pasukan penyelamat Perancis yang turut sama dalam operasi menyelamat itu, mereka telah membuat rumusan tidak mungkin akan menemui mana-mana mangsa yang masih selamat.

"Salji runtuh itu berlaku di kawasan yang sangat curam dan amat mustahil untuk pasukan menyelamat menemui mangsa yang masih selamat," ujarnya.

Selepas menemui sembilan mayat, pasukan penyelamat masih gagal menemui tiga lagi pendaki iaitu dua pendaki berbangsa Perancis dan seorang Kanada yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pendaki yang bernasib malang itu.

Khemah kumpulan pendaki ini telah ditimbus salji runtuh berhampiran puncak Gunung Manaslu setinggi 8,156 meter (26,759 kaki) pada awal pagi Ahad.

Gunung Manaslu atau turut dikenali dengan nama Kutang adalah gunung yang kelapan tertinggi dunia.

Pendaki dari Kanada itu telah disahkan oleh adik perempuannya sebagai seorang doktor yang berasal dari Negeri Quebec di Kanada yang bertutur dalam bahasa Perancis.

Dua lagi pendaki warga Perancis yang masih hilang itu adalah jurupandu dari bandar ini dan merupakan pendaki amatur.

Lapan daripada sembilan mayat yang ditemui telah dikenalpasti sebagai empat warga Perancis, seorang jurupandu warga Nepal, seorang warga Sepanyol, Jerman dan Itali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain