suria

Penyamaran Sebagai Doktor Terbongkar Selepas Merawat Lebih 2,300 Pesakit

TOKYO: Selepas dia merawat tidak kurang dari 2,300 orang pesakit dan bekerja sebagi doktor secara sambilan di Hospital Tokyo, barulah pihak berkuasa menyedari rupa-rupanya doktor itu adalah doktor palsu.

Polis Jepun pada Isnin telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor untuk mencari wang lebih bagi menampung keperluan sehariannya.

Sepanjang tempoh penyamarannya itu, 'doktor' tersebut telah memeriksa dan merawat 2,300 pesakit menggunakan ilmu pengetahuan mengenai bidang kedoktoran hasil daripada bacaannya sendiri.

Miyabi Kuroki, 43, tidak memiliki sebarang kelulusan dalam bidang perubatan tetapi telah menyamar sebagai doktor setelah berjaya memperolehi maklumat mengenai seorang doktor daripada internet.

Menurut laporan Jiji Press, dari sini, penyamar itu kemudiannya telah dihantar bertugas ke Hospital Tokyo oleh sebuah agensi pekerjaan sebagai doktor sambilan.

Sepanjang berkhidmat di hospital berkenaan sejak tahun 2009, dia telah memeriksa dan merawat lebih dari 2,300 orang pesakit.

Penyamarannya terbongkar selepas sebuah lembaga peperiksaan sebuah kolej perubatan yang mana dia juga menjadi tenaga pengajar mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Setelah menjalankan siasatan mereka dapati dia menggunakan identiti doktor lain untuk menyamar sebagai doktor.

Kuroki telah ditahan dan disiasat atas dakwaan salah laku memalsukan lesen amalan perubatan pada 2009 dan memperolehi pendapatan sehingga 2.62 juta yen (AS$34,000) hasil daripada penyamarannya itu.

Hospital di mana dia bekerja telah memohon maaf secara terbuka kepada para pesakit dan menyeru sesiapa yang pernah dirawat oleh 'doktor' palsu ini supaya kembali ke hospital untuk diperiksa sekali lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain