suria

Ujian Bertulis, Psikologi Kepada Calon Tenaga Kerja Indonesia

JAKARTAL: Indonesia akan mengetatkan lagi peraturan berhubung penghantaran tenaga kerja ke luar negeri dengan memperkenalkan ujian bertulis dan ujian psikologi tidak lama lagi.

Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) Jumhur Hidayat berkata kerajaan Indonesia dalam masa terdekat akan mengeluarkan peraturan ujian bertulis dan ujian psikologi kepada calon tenaga kerja yang berkenaan.

"Kalau tidak lulus tidak boleh pergi. Dengan cara ini kes-kes pelanggaran peraturan yang berlaku sekarang boleh dikurangkan dengan banyak.

"Calon tenaga kerja kita pilih dengan ketat termasuk oleh pegawai Jabatan Tenaga Kerja peringkat daerah dan perbandaran, melalui Sistem Komputerisasi Tenaga Kerja Luar Negeri atau SISKO-TKLN," katanya dalam siaran di laman web BNP2TKI.

Jumhur berkata di bawah peraturan baru itu nanti, hanya mereka yang lulus ujian bertulis dan ujian psikologi yang akan diberi Kad Tenaga Kerja Luar Negeri (KTKLN).

Mengenai potongan wang kepada tenaga kerja Indonesia yang dikenakan oleh agensi pekerjaan di negara tujuan, Jumhur berkata bayaran itu sebaiknya ditanggung oleh majikan.

Tenaga kerja Indonesia tidak seharusnya membayar wang kepada agensi di sana, sebaliknya pihak yang akan menggunakan tenaga kerja itu yang perlu membayar kepada agensi berkenaan.

Jual beli kerja harus dihapuskan kerana ia sangat melanggar norma bidang tenaga kerja dan merupakan eksploitasi manusia ke atas manusia.

Menurut konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), orang yang ingin bekerja tidak boleh membayar, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain