suria

PBB Ulangi Komitmen Bantu Myanmar

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menegaskan sekali lagi pada Jumaat komitmen badan dunia itu untuk membantu Myanmar mencari perdamaian di negara berkenaan, yang melibatkan peranan penting pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi.

PBB menganggap Myanmar sebagai sebuah negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) yang semakin penting peranannya dalam pertubuhan itu.

"Kami meletakkan harapan tinggi yang beliau (Suu Kyi) akan dapat merintis jalan ke arah perdamaian dan pembangunan Myanmar serta penyertaan negara itu secara lebih menyeluruh dalam demokrasi, bersama Presiden Myanmar Thein Sein," kata Ban pada sidang akhbar yang turut dihadiri Suu Kyi di ibu pejabat PBB.

Ban menyatakan "penghormatan tinggi" beliau terhadap Presiden Thein Sein, yang akan tiba di New York tidak lama lagi untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB, dan Aung San Suu Kyi.

"Mereka sedang merintis jalan ke arah perdamaian dan kestabilan politik serta demokrasi dan hak asasi manusia...dan saya yakin beliau akan memberi sokongan secara berterusan," kata Ban.

Sebelum berucap pada sidang akhbar itu, Ban mengadakan pertemuan dengan Suu Kyi untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk cara yang boleh digunakan PBB untuk membantu memperkemas proses demokrasi di Myanmar.

Ketika melawat Myanmar pada Mei tahun ini, Ban menemui Suu Kyi untuk julung kalinya di rumah Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.

"Pada pertemuan itu, kami berbincang tentang kemungkinan beliau melawat PBB. Saya mengundang beliau melawat PBB. Sebenarnya, beliau adalah seorang petugas PBB dan oleh itu, saya amat mengalu-alukan kepulangan beliau," kata Ban, sambil menyifatkan Suu Kyi sebagai "simbol harapan" bagi hak asasi manusia sejagat.

Beliau berkata kini Suu Kyi bukan saja menyandang jawatan setiausaha agung parti politik National League for Democracy, tetapi juga seorang anggota Parlimen Myanmar dan pengerusi Jawatankuasa Kedaulatan Undang-undang dan Kestabilan.

"Ini agak penting juga dan sehubungan itu, beliau boleh terus membantu rakyat Myanmar dan ramai lagi orang di seluruh dunia yang mungkin mengalami kesulitan serupa dan menjadi mangsa penindasan hak asasi manusia seperti yang telah dialami rakyat Myanmar dan beliau sendiri," kata Ban. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain