suria

Bank of America Cadang Mansuh 16,000 Pekerjaan

NEW YORK: Bank terbesar Amerika iaitu Bank of America berhasrat untuk memotong sehingga 16,000 pekerjaan menjelang hujung tahun ini.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan pada Khamis, dengan keputusan untuk pemansuhan jawatan sebesar itu, bank berkenaan bukan lagi bank terbesar Amerika.

Pengurangan sehingga 16,000 pekerjaan itu akan hanya menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan Bank of America kepada 260,000 orang sahaja.

Menurut akhbar itu lagi, makluman mengenai langkah-langkah pengstrukturan semula bank berkenaan telah diedarkan kepada eksekutif-eksekutif kanannya.

Strategi baru itu adalah idea daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Brian Moynihan yang mengambil alih pengurusan pada 2010 bertujuan untuk menjadikan bank itu lebih efisien dan mengurangkan pendedahan kepada risiko tinggi.

Wall Street Journal mengandaikan, sebahagian besar jawatan yang akan dimansuhkan adalah dari bahagian perbankan konsumer.

Bank of America juga berhasrat untuk menutup 200 cawangannya lagi di seluruh negara tahun ini.

Tahun lalu, 178 cawangan telah pun ditutup.

Bank of America juga bercadang untuk mengecilkan unit kad kredit antarabangsa, unit insurans dan beberapa pegangan lain sehingga mengurangkan asetnya kepada hanya tujuh peratus sahaja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain