suria

Filem Hina Nabi: Arab Saudi Ancam Haramkan YouTube

RIYADH: Arab Saudi memberi amaran akan ‘mengharamkan’ YouTube di negara tersebut jika Google tidak memberi sebarang reaksi terhadap permintaan agar akses kepada klip filem Innocense of Muslims yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS), disekat.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Informasi Arab Saudi (CITC) telah mengarahkan syarikat di negara terbabit untuk menyekat filem berkenaan dari Internet dan juga meminta Google menyekat kesemua sambungan YouTube yang membawa kepada penyiaran tersebut," kata kenyataan dipetik agensi berita Saudi, SPA.

"Jika tuntutan ini tidak dipenuhi, CITC akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyekat seluruh laman sosial YouTube," kata SPA.

Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan terbunuh setakat ini ekoran protes yang ada kaitan dengan filem terbabit di lebih 20 negara.

Antara yang maut, Duta AS ke Libya, Christopher Stevens apabila Kedutaan AS diserang minggu lalu di Benghazi.

Pada Selasa, Arab Saudi mengutuk filem terbabit serta mengecam serangan balas terhadap perkara terbabit.

Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh telah menyekat akses ke YouTube selepas laman itu gagal menghalang filem terbabit yang telah dihasilkan oleh sekumpulan kecil pelampau Kristian di AS.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

132 Banduan Lari dari Penjara Mexico

Artikel Lain