suria

Liga Islam Sedunia Kecam Filem Anti-Islam

BANGKOK: Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menyeru umat Islam menahan diri daripada menggunakan keganasan dalam menangani isu itu.

Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky berkata hari ini filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana ia menjejas keharmonian sejagat.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya filem itu. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima," katanya selepas menghadiri Seminar Antarabangsa berhubung Agama dan Proses Perdamaian di Asean, di sini.

Liga Islam Sedunia, sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah dan ditubuhkan pada 1962, turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutuk filem bertajuk 'Innocence of Muslims' yang memutar belit fakta berhubung Nabi Muhammad.

Protes terhadap filem itu telah merebak ke lebih 20 negara dan meragut banyak nyawa, termasuk seorang duta Amerika.

Bagi mengurangkan ketegangan semasa, Abdullah berkata Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan seperti membunuh dan memusnahkan harta benda sebagai cara menyelesaikan masalah.

Beliau turut diminta mengulas permintaan sekumpulan pengganas yang mahu umat Islam melancarkan lebih banyak serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penggunaan sebarang bentuk keganasan," katanya. Sehubungan itu, Abdullah berharap ketegangan yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan kerana keganasan bukanlah satu penyelesaian.

"Dialog dan kerjasama adalah alat yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.

Artikel Lain