suria

Langkah Diambil Stabilkan Wilayah Selatan Thailand - PM

VLADIVOSTOK: Thailand sedang mengambil langkah untuk menstabilkan wilayahnya di selatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan pertemuan dua hala beliau dengan Perdana Menteri Thai Yingluck Shinawatra di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec 2012, yang sedang berlangsung di sini.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan Shinawatra, beliau dimaklumkan bahawa langkah yang diambil itu tertumpu kepada pendidikan, latihan dan peruntukan bantuan kepada peniaga kecil di wilayah itu.

Puak disyaki pemberontak membakar bendera Thai dan mengibarkan bendera Malaysia sebagai gantinya dalam operasi bersepadu pada 31 Ogos di seluruh wilayah selatan Thailand yang dikuasai masyarakat Islam yang turut menyaksikan militan meledakkan bom yang mencederakan enam anggota tentera, kata pegawai.

Pergolakan itu berlaku pada ulang tahun penubuhan kumpulan pemisah induk yang menggabungkan empat pergerakan pemisah Thai pada 1989, selain sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia daripada penjajahan British.

Najib berkata Malaysia turut membayangkan akan bekerjasama dengan Thailand dalam isu harga getah, ekoran kejatuhan harga komoditi itu.

"Kami perlu bekerjasama (dalam perkara ini) dengan Indonesia, di bawah Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC)," katanya, sambil menambah mesyuarat menteri-menteri luar suruhanjaya bersama akan diadakan bulan depan berhubung perkara itu.

Ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia di sini mengenai hasil pertemuan dua hala beliau dengan beberapa pemimpin negara di sini hari ini, Najib berkata kawasan sempadan Thailand-Kedah juga mempunyai potensi yang baik untuk pembangunan selanjutnya.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan Shinawatra, beliau turut membincangkan cara untuk membangunkan sebuah 'Bandaraya Getah' di sana dengan menjadikan industri berasaskan getah sebagai asas.

Industri lain, misalnya berkaitan tenaga, akan turut dipertimbangkan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain