suria

Singapore Airlines Lancar Program Internet Dan Data Dalam Penerbangan

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) secara rasminya melancarkan perkhidmatan penyambungan bernilai US$50 juta yang membolehkan pelanggan melayari Internet dan data mudah alih semasa dalam penerbangan, walaupun berada pada ketinggian 35,000 kaki.

Susulan pelancaran awalnya yang terhad kepada beberapa pesawat, sambungan dalam penerbangan itu hari ini disediakan dalam 14 pesawat, termasuk kesemua lima Airbus A340-500s yang digunakan untuk penerbangan tanpa henti terpanjang di dunia antara Singapura dan Newark dan Los Angeles.

Naib Presiden Kanan Produk dan Perkhidmatan SIA Tan Pee Teck berkata perubahan itu dilakukan bagi memenuhi kehendak pelanggan, selain mengikut perkembangan semasa.

Perkhidmatan itu juga dikembangkan ke lebih banyak pasaran seperti Australia, yang sebelum itu tidak memperoleh kelulusan kawal aturan.

Pengguna boleh melayari Internet, menghantar dan menerima e-mel menerusi telefon pintar dan peranti elektronik yang lain, dan menghantar dan menerima mesej teks SMS menggunakan telefon mudah alih GSM. (Data mudah alih dan khidmat teks belum ditawarkan dalam pesawat A380s).

Menerusi usaha sama dengan penyedia penyambungan utama, OnAir, teknologi itu akan disediakan dalam kesemua pesawat Airbus jarak jauh SIA - A380-800, A340-500 dan Boeing 777-300ER dalam tempoh dua tahun akan datang.

Artikel Lain