suria

Penduduk Gaza Harap Kepimpinan Baru Mesir Akhiri Pengasingan

SEMENANJUNG GAZA: Penduduk Palestin yang tinggal di Semenanjung Gaza berharap kepimpinan baharu Mesir akan menamatkan pengasingan mereka daripada dunia luar yang dilakukan sejak era pemerintahan Hosni Mubarak.

Berasa optimistik dengan kebangkitan rakyat Mesir itu, penduduk Gaza membanjiri jalan raya untuk meraikan kejayaan Mohammed Morsi yang disokong Ikhwanul Muslimin, sebagai presiden baru Mesir.

Mereka menunggu bantuan dan kemudahan yang akan ditawar Mesir termasuk pembukaan kekal sempadan Rafah, pembekalan bahan api dan air serta pengakhiran kepada perbalahan antara Hamas dan Fatah.

Ramai rakyat Palestin menuduh bekas presiden Mesir Hosni Mubarak yang digulingkan menerusi revolusi pada 2011, bekerjasama dengan Israel dalam memperhebatkan sekatannya ke atas Semenanjung Gaza.

Kebanyakan penduduk Gaza menggunakan sempadan Rafah untuk keluar-masuk wilayah itu, iaitu satu-satunya jendela Gaza untuk melihat dunia luar, namun ketika era Mubarak laluan tersebut ditutup hampir sepenuhnya.

Sekarang, laluan itu menyaksikan pergerakan kira-kira 1,500 pengguna dari Gaza setiap hari, satu langkah yang diharapkan penduduk Palestin akan ditambah baik sementara menunggu pihak berkuasa Mesir membuka laluan itu 24 jam sehari.

Semenanjung Gaza yang memiliki keluasan 365 kilometer persegi dikelilingi empat laluan utama di bawah kawalan Israel kecuali Rafah yang dikawal Mesir dan kerajaan Hamas.

Wilayah di pesisir laut itu juga pernah memiliki lapangan terbang namun dimusnahkan sepenuhnya oleh Israel selepas gerakan Intifada kedua pada tahun 2000.

Pada Julai lepas, Perdana Menteri Hamas di Gaza, Ismail Hanyieh bertemu Morsi di Kaherah yang berjanji untuk menarik balik sekatan dan melanjutkan waktu bekerja di sempadan Rafah serta menambah baik kualiti kehidupan di Semenanjung itu.

Israel mengenakan kawalan ketat menutup Semenanjung Gaza pada 2007 atas alasan menghalang penghantaran senjata api kepada Hamas, kumpulan bersenjata yang merampas Gaza daripada kumpulan Fatah yang disokong pihak Barat.

Pelajar perubatan Mohammed Safi yang sedang menuntut di Kaherah berharap penambahbaikan di sempadan Rafah akan memudahkan pergerakan beliau untuk keluar-masuk ke wilayah itu.

"Selepas bertahun-tahun menderita di bawah rejim Mubarak, Presiden Morsi perlu membuka lembaran baharu dengan penduduk Gaza," katanya kepada Bernama.

"Kami ada hak untuk bergerak tanpa sekatan," katanya.

Hamas cuba menggunakan perubahan di Mesir itu sebagai kuasa untuk mencegah keganasan Israel di Gaza.

Dalam tempoh dua hari lepas, rejim zionis itu melakukan serangan yang menyebakan enam penduduk Palestin terkorban, dan Hamas menyifatkan keganasan itu sebagai tamparan kepada pendirian Morsi yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Kebangkitan Israel berbahaya, tidak ada kewajaran dan hanya menambah kepada perbuatan jenayah Israel. Serangan juga menyasarkan pendirian presiden baru Mesir yang mahu melindungi perjuangan Gaza dan Palestin," kata Fawzi Barhoom, jurucakap Hamas.

Menteri Ekonomi Hamas Ala Al-Rafati berkata, mereka menyediakan pelan untuk mewujudkan zon bebas cukai di kawasan sempadan Gaza dan Mesir. Kementerian itu juga berkata pihak berkuasa memperuntukkan tanah seluas 200 ekar (80 hektar) berhampiran Rafah bagi tujuan tersebut.

"Kewujudan zon bebas cukai akan memainkan peranan penting dalam menarik balik sekatan ke atas Gaza, menggalakkan aktiviti perdagangan dan mengukuhkan perpaduan politik dengan Mesir serta dunia Arab dan Muslim," kata Al-Rafati.

Beliau berkata, sebuah delegasi khas akan ke Mesir untuk membincangan cadangan itu dengan pihak yang berkenaan.

Sementara itu, Hanyieh pada mesyuarat pertama jemaah menterinya menggesa pihak berkuasa Mesir melaksanakan cadangan mewujudkan kawasan perdagangan tersebut.

"Saya minta Menteri Dalam Negeri memperkukuhkan keselamatan kawasan sempadan Palestin-Mesir dan saya menggesa Presiden Mesir Mohammed Morsi agar mengarahkan pihak yang berkenaan dalam kerajaannya mempercepatkan prosedur mewujudkan zon bebas cukai," katanya.

Aktivis Palestin, Youssef Al-Jamal berkata, Mesir mempunyai peranan utama dalam menamatkan penderitaan dan pengasingan penduduk Gaza.

"Kepimpinan baru di Mesir harus mengambil pendirian tegas untuk mengakhiri krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza. Kewujudan zon bebas cukai dan penghantaran bekalan bahan api serta simen akan membantu orang miskin di Gaza," katanya kepada Bernama.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan 40 peratus penduduk Gaza berada di bawah garis kemiskinan sementara 80 peratus pula bergantung kepada bantuan yang diagih badan amal. - BERNAMA

Artikel Lain