suria

Sektor Pembinaan India Tidak Terjejas Akibat Kelembapan Ekonomi

NEW DELHI: Industri pembinaan India terus mencatat pertumbuhan dalam semua segmen walaupun berlaku kelembapan ekonomi, demikian menurut hasil Kajian Pembinaan India oleh The Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS).

Kajian itu mendapati tempoh 12 bulan akan datang sangat baik walaupun kos dan kekurangan tenaga kerja mahir menimbulkan kekangan.

"Beban kerja di kebanyakan bahagian dalam industri semakin meningkat walaupun ekonomi perlahan serta pertumbuhan sederhana dalam keluaran industri, berdasarkan data rasmi," katanya.

Keluaran dalam negara kasar India berkembang 5.5 peratus pada suku yang berakhir Jun, paras terendah dalam tempoh tiga tahun.

Dalam kenyataan ketua pegawai eksekutif Hirco Development, V. Suresh berkata, industri pembinaan diunjurkan berkembang dalam sektor hartanah dan infrastruktur pada separuh kedua 2012.

"Segmen perumahan, peruncitan, penjagaan kesihatan, jalan, tenaga dan pengangkutan dijangka mencatat pertumbuhan antara 10 dan 15 peratus berbanding separuh pertama, dengan perbelanjaan pembinaan dalam tangan sebanyak US$75 bilion," katanya.

Pengarah Urusan serantau Sweett Group, Sateeshkumar Ranganathan berkata, sentimen dalam pasaran pembinaan terus positif dan terdapat trend peningkatan untuk penggunaan mekanisme berdasarkan kekurangan kemahiran dalam industri yang semakin besar.

Kajian itu bagaimanapun mendapati kebimbangan semakin meningkat membabitkan tahap keuntungan yang semakin meningkat dalam tempoh itu.

Sektor pembinaan kini mahu meningkatkan harga bagi mengimbangi peningkatan kos input yang cuba ditangani oleh industri berkenaan, katanya.

Kurang permintaan, perancangan, isu kawal selia dan akses kepada pembiayaan, merupakan faktor penting yang diketengahkan, selain kekurangkan pekerja yang merupakan halangan paling kritikal.

Ketua Eksekutif Paharpur Business Centre, Kamal Meattle berkata, kekurangan tenaga pekerja pada tahap tertentu mungkin menjejaskan sentimen pasaran.

Tempoh 12 bulan yang akan datang sangat penting dari segi mengekalkan keseimbangan beban kerja serta tenaga kerja, katanya.

RICS ialah badan profesional kawal aturan utama dunia bagi piawaian dan kelayakan dalam isu-isu tanah, hartanah, pembinaan dan isu berkaitan alam sekitar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain