suria

Penyertaan Malaysia Dalam Mercu Tanda Baharu London

LONDON: Projek Battersea Power Station di sini telah bersedia untuk mentransformasikan wilayah pinggir sungai di Central London dengan penyertaan syarikat-syarikat besar Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, ini merupakan projek yang signifikan kerana ia disertai oleh Sime Darby Bhd, antara syarikat terbesar yang disenaraikan di Malaysia, SP Setia Bhd, pemaju hartanah terbesar Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tapak ikonik berkeluasan 15.8 hektar itu yang menempatkan dua stesen kuasa arang batu yang telah berhenti menghasilkan tenaga elektrik pada tahun 1983, akan menjadi mercu tanda baharu di London dengan pembangunan pusat bandar yang terdiri daripada tapak kediaman dan komersil.

Pelancaran jualan kediaman dan komersil untuk fasa satu projek akan diadakan tahun depan dengan kerja pembinaan bermula dalam separuh kedua 2013.

Pembangunan projek termasuklah menghidupkan semula stesen kuasa, bangunan bata terbesar di Eropah dan contoh paling signifikan sejarah senibina Art Deco.

Bagaimanapun, stesen kuasa yang dibina dalam tahun 1930an juga satu masa dahulu dikenali sebagai penyumbang pencemaran terbesar di London.

Pembangunan semula Battersea Power Station akan melibatkan semula penjanaan kuasa tetapi kali ini lebih kepada "tenaga hijau" untuk penggunaan tapak pembangunan.

"Di Malaysia, kita juga melihat kepada Greater KL, sebahagian daripada bandar itu telahpun tua dan berusia dan memerlukan pembaharuan ataupun penyegaran semula," kata Idris dalam kata-kata aluannya di majlis makan malan di tapak Battersea Power Station bagi meraikan penyertaan ketiga-tiga syarikat besar Malaysia itu.

Majlis makan malam itu dihadiri oleh peneraju industri sektor korporat Malaysia.

"Apabila kita membawa masuk benda baharu, kita juga mesti simpan aspek-aspek tradisionalnya," kata Idris.

Datuk Bandar London, Boris Johnson berkata tapak Battersea Power Station juga dikenali sebagai simbol "urban decay".

"Lokasi ini sentiasa menjadi pilihan oleh para pengarah filem untuk memfilemkan latar filem seperti Batman dan Alfred Hitchcock," kata Johnson dalam ucapannya pada majlis itu.

Sambungan laluan Northern Line London Underground, akan merealisasikan nilai dalam kawasan ini dan akan menjadikannya antara tapak tersohor di London dan sebagai tempat yang paling menarik untuk didiami.

Menurut siaran media yang dikeluarkan pada majlis yang diadakan semalam, rakan usaha sama konsortium Malaysia telah komited untuk menyokong pembinaan cadangan lanjutan Northern Line ke kawasan Nine Elms.

Ini ialah bahagian penting wawasan menghidupkan semula kawasan itu dan ia telah mendapat sokongan politik yang meluas seperti London Borough of Wandsworth, Datuk Bandar London dan kerajaan negara UK dalam Pelan Infrastruktur Kebangsaannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain