suria

Pekerja Rakyat India Di Malaysia Paling Kurang Buat Aduan - Menteri

NEW DELHI: Rakyat India yang bekerja di Malaysia paling kurang membuat aduan berbanding rakan mereka yang bekerja di negara lain terutama di Timur Tengah, menurut seorang menterinya.

Sehingga Julai 2012, hanya terdapat 65 aduan yang dibuat dengan kedutaan India di Malaysia berhubung eksploitasi, layanan buruk atau gaji tidak dibayar, kata Menteri Hal Ehwal Rakyat India Seberang Laut, Vayalar Ravi.

Paling ramai membuat aduan ialah yang bekerja di Kuwait sebanyak 2,253 aduan, diikuti di Qatar (2,194), Arab Saudi (1,889 sehingga Ogos), Oman (1,494), Bahrain (470) dan Emirah Arab Bersatu (UAE) (393).

"Kerajaan India telah mengambil beberapa inisiatif untuk melindungi kebajikan pekerja India di seberang laut. Tidak terdapat kenaikan berterusan dalam kes eksploitasi atau salah laku atau penderaan pekerja India," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut data, walaupun jumlah aduan yang didaftar di Malaysia meningkat dari 105 pada 2009 dan 131 pada 2010 ke 152 pada 2011, ia masih rendah berbanding negara lain yang mengambil pekerja India.

Terdapat kira-kira 150,000 pekerja India yang sah di Malaysia dalam bidang berkemahiran dan separa mahir terutama dalam sektor perkhidmatan.

Juga terdapat kira-kira 10,000 ekspatriat profesional yang diambil bekerja di bidang teknologi maklumat, pengeluaran dan perbankan.

Malaysia merupakan antara negara pilihan utama pencari kerja dari India ekoran faktor kedekatan dan hubungan dua hala yang kuat.

India menandatangani perjanjian tenaga buruh dengan Jordan dan Qatar serta memorandum persefahaman (MoU) dengan UAE, Kuwait, Oman, Malaysia dan Bahrain.

MoU itu telah meningkatkan kerjasama dua hala dalam pentadbiran imigresen dan perlindungan kebajikan pekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Letupan Bom Di Damsyik: 15 Maut

Artikel Lain