suria

Gaza Tidak Sesuai Untuk Kehidupan Menjelang 2020 Melainkan Tindakan Segera Diambil - PBB

GAZA: Semenanjung Gaza akan menjadi kawasan yang tidak sesuai untuk kehidupan manusia menjelang 2020, sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk memperbaiki kedaifan yang dialaminya daripada segi kemudahan sanitasi, bekalan elektrik, pendidikan dan kesihatan untuk memenuhi keperluan penduduk generasi muda di kawasan itu, yang terus meningkat, kata laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Laporan itu berkata lapan tahun lagi, populasi Gaza dijangka meningkat daripada 1.6 juta kepada 2.1 juta, bertambah lebih 500,000 orang, yang semuanya memerlukan makanan, tempat tinggal dan pendidikan.

Gaza adalah antara wilayah yang mempunyai jumlah penduduk muda paling ramai di dunia memandangkan separuh daripada penduduknya berusia kurang 18 tahun, kata beliau.

Maxwell Gaylard, Residen dan Penyelaras Kemanusiaan PBB, berkata walaupun beliau melihat jumlah golongan muda yang ramai itu sebagai komoditi yang memiliki potensi, tetapi peluang yang amat berharga ini boleh bertukar menjadi suatu beban sekiranya ia tidak disertai bantuan antarabangsa.

"Mereka perlu diberi pendidikan, pekerjaan dan peluang lain untuk menjadi warga berguna. Jika tidak, akan timbul perasaan kecewa, putus asa dan berlakulah kekacauan," kata Gaylard.

Kira-kira 80 peratus penduduk Gaza yang mendiami semenanjung sempit ini hanya bergantung hidup dengan bantuan badan antarabangsa, kata laporan itu, yang turut menjelaskan bahawa 40 peratus rakyat Palestin yang tinggal di kawasan pesisir pantai, hidup di bawah paras kemiskinan.

Semenanjung seluas 365km persegi ini juga sering terputus bekalan elektrik. Selain sebuah stesen janakuasa yang terdapat di Gaza, tenaga elektrik untuk wilayah ini juga diperoleh daripada dua pembekal utama lain.

Ketika ini, sekitar 242 MW tenaga elektrik dibekalkan ke wilayah ini dan jumlah ini perlu digandakan untuk memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat berikutan pertambahan penduduk.

Laporan itu juga memberi fokus tentang kedaifan kemudahan sanitasi hingga menyebabkan penduduk Gaza begitu sukar mendapatkan air yang selamat diminum dan kira-kira 90 peratus air minuman diperoleh daripada alat akuafer, tetapi ia tidak selamat diminum kerana tidak dirawat.

Malah, air daripada akuafer mungkin sukar didapati lagi menjelang 2016 apabila penduduk terpaksa menggali lebih dalam untuk sampai ke paras air bawah tanah yang begitu cepat kehabisan, kata Jean Gough, wakil UNICEF ke wilayah Palestin yang diduduki Isreal itu kepada pemberita di Gaza.

Beliau berkata tiada langsung sampel air bawah tanah daripada kawasan ini yang memenuhi standard kebersihan antarabangsa.

Laporan itu juga berkata keperluan terhadap air minuman dianggar mencecah 260 juta meter padu setahun menjelang 2020 lebih 60 peratus daripada air yang diperoleh ketika ini daripada akuafer.

Gaza, yang dibedil teruk dalam serangan tiga minggu Israel pada 2008 dan 2009, juga memerlukan tambahan 440 sekolah, 1,000 doktor dan 800 katil hospital menjelang 2020.

Gaylard, yang berpendapat bahawa sekatan yang dikenakan Israel ketika ini menghalang rakyat Palestin untuk menambah baik kehidupan mereka, menegaskan bahawa rakyat Palestin memerlukan keselamatan dan keamanan untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan di semenanjung Gaza.

"Keadaan yang dihadapi ini bukan berpunca daripada bencana alam. Ia berpunca sepenuhnya daripada angkara manusia dan oleh itu kami menyeru agar sekatan yang dikenakan ditarik balik, manakala pendudukan di semananjung Gaza pula, dihentikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain