suria

Pencarian Empat Mangsa Banjir Kilat Leuser Diteruskan

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Selasa pagi meneruskan pencarian terhadap empat orang yang masih hilang dalam kejadian banjir kilat di daerah kecil Leuser, dalam daerah Aceh Tenggara.

Sebelum ini dua daripada mangsa yang dilapor hilang ditemui mati lemas dalam kejadian yang berlaku sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri itu.

"Pagi ini kami kembali menyisir kawasan sungai untuk mencari empat penduduk yang masih hilang," kata Ketua Pos SAR Aceh Tenggara Juanda kepada wartawan.

Juanda berkata, pasukan SAR yang turut melibatkan anggota tentera dan polis serta beberapa agensi lain menyisir sungai itu dari lokasi awal banjir hingga ke beberapa batang sungai di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, sejumlah kampung yang sebelum ini terputus perhubungan akibat banjir kilat itu kembali normal setelah pasukan tentera membina sebuah jambatan kecemasan merentangi sebatang sungai di Leuser.

Anggota tentera turut membantu membersihkan kawasan yang dilanda banjir daripada sisa runtuhan bangunan dan batang pokok yang dibawa arus air bah.

Juanda berkata, ratusan mangsa dari desa Sepakat, Naga Timbul dan Yang Pangi yang dipindahkan ke stadium bola sepak Kutacane, telah dibenar pulang ke desa masing-masing.

Banjir kilat itu telah mengkibatkan kira-kira 70 rumah penduduk, yang kebanyakannya dibuat daripada kayu, mengalami kerosakan.

Aceh Tenggara ialah salah satu daerah yang bersempadan dengan Provinsi Sumatera Utara. - BERNAMA

Artikel Lain