suria

Sistem IT Atos Untuk Sukan Olimpik London 2012 Berjaya

SINGAPURA: Sistem teras yang dipasang Atos berjaya membolehkan lebih daripada lapan juta pemegang tiket dan empat bilion penduduk dunia menyaksikan Sukan Olimpik London 2012.

Atos ialah syarikat perkhidmatan Teknologi Maklumat Antarabangsa (IT) dan Rakan IT dunia bagi Sukan Olimpik.

London 2012 merupakan Sukan Olimpik digital sepenuhnya dalam sejarah sukan itu, dengan lebih ramai menonton sukan berkenaan menggunakan peranti berbanding sebelumnya, kata Atos dan jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik dalam kenyataan bersama.

Kejayaan utama sistem IT pada kejohanan itu adalah hasil usaha pakar teknologi Atos yang berjaya menghantar keputusan kepada pengulas dunia sebelum sorakan orang ramai didengari - dalam 0.3 saat.

Jacques Rogge, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bekata menerusi sokongan Atos, orang ramai dapat menyaksikan sukan itu menerusi pelbagai saluran, menggunakan pelbagai peranti masa nyata.

Thierry Breton, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Atos berkata sebagai penyepadu utama, pengurus projek dan pengurus operasi, Atos bertanggungjawab terhadap sistem IT utama kejohanan itu.

"Kami bangga terhadap peranan yang telah kami laksanakan dengan jayanya, yang juga merupakan kejayaan besar Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), LOCOG dan seluruh keluarga Olimpik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain