suria

Negara Islam Dijangka Gantung Keahlian Syria Daripada OIC

RIYADH: Pemimpin di kalangan negara Islam dijangka menggantung keahlian Syria daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 pertubuhan itu pada Rabu walaupun menerima bantahan keras dari Presiden Bashar al-Assad.

Keputusan oleh 57 negara anggota OIC itu yang memerlukan majoriti dua pertiga akan mendedahkan perbezaan pendapat dalam dunia Islam mengenai cara bagaimana untuk memberi respons terhadap perang saudara di negara Timur Tengah itu.

Stesen televisyen Arab Saudi menunjukkan Raja Abdullah yang menyokong cadangan itu turut ditemani Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mengalu-alukan kehadiran pemimpin ke persidangan itu.

Abdullah dan Ahmadinejad dilihat rancak berbual dan ketawa bersama-sama.

"Ia merupakan mesej kepada rakyat Iran dan saya percaya, kita sebagai orang Islam perlu bekerjasama dan melupakan perbezaan kita," kata penganalisis politik Arab Saudi, Abdullah al-Shammari.

Terdahulu, Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu dipetik oleh AFP sebagai berkata Syria yang sedang dilanda peperangan kini tidak akan diwakili dalam sidang kemuncak itu.

Konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dengan tunjuk perasaan awam iaitu sebahagian daripada kebangkitan ‘Arab Spring’ yang lebih meluas dan merebak kepada pemberontakan di seluruh negara, serta perang saudara pada 2012 dan berlanjutan hingga kini.

Penunjuk perasaan mendesak supaya pemerintahan Parti Ba’ath yang berkuasa hampir lima dekad ditamatkan lebih awal di samping peletakan jawatan Presiden negara itu, Bashar al-Assad.

Kerajaan Syria mengerahkan angkatan tenteranya untuk menumpaskan pemberontakan itu dan tentera dilaporkan juga tentera turut diarahkan supaya melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Konflik 17 bulan itu mengorbankan lebih 21,000 nyawa, menurut kumpulan pemantau.

Syria turut digantung keahlian daripada Liga Arab tahun lalu berikutan pertumpahan darah berterusan selepas gerakan besar-besaran anti kerajaan di negara tersebut.

Artikel Lain