suria

Morsi Pecat Menteri Pertahanan,Tarik Balik Kuasa Tentera & Umum Pelantikan Naib Presiden

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohammed Morsi pada Ahad mengarahkan perletakan jawatan menteri pertahanannya dan pada masa yang sama membatalkan dokumen perlembagaan yang memberi kuasa yang berlebihan kepada pihak tentera.

Mohammed Morsi secara rasminya 'memecat' Field Marshal Hussein Tantawi yang sebelum ini memerintah Mesir secara transisi selama setahun selepas kejatuhan Hosni Mubarak sebelum pilihan raya presiden dan dewan rakyat berlangsung.

Beliau turut mengumumkan yang kerajaannya membuat keputusan untuk melantik seorang naib presiden.

Beliau telah memilih seorang hakim, Mahmud Mekki sebagai naib presiden - sekaligus menjadikannya sebagai orang kedua yang dilantik ke jawatan itu dalam tempoh 30 tahun.

Pengumuman yang mengejutkan itu bakal menguji sejauh manakah Mohammed Morsi yang merupakan presiden awam yang pertama lebih berkuasa dan berpengaruh daripada pihak tentera yang selama berabad-abad lamanya menjadi penentu kuasa yang mutlak di negara itu.

Untuk rekod, Hosni Mubarak juga adalah bekas jeneral tentera udara sebelum menyandang jawatan naib presiden dan kemudiannya presiden.

Dalam ucapannya di Masjid al-Azhar, Mohammed Morsi mempertahankan tindakannya itu dan memberikan sebab-sebab mengapa beliau bertindak meminta Tantawi melepaskan jawatannya.

"Niat saya hanya satu iaitu untuk melihat pihak tentera menjalankan tugas dan tanggungjawab utama mereka iaitu mempertahankan negara ini," katanya.

Kata presiden itu, beliau tidak mempunyai niat untuk mengenepikan peranan dan kuasa pihak tentera.

Tantawi, pemimpin veteran tentera yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan dalam kabinet Hosni Mubarak selama dua dekad hanya menyerahkan kuasa kepada Mohammed Morsi pada 30 Jun lalu kini diganti oleh Abdel Fattah al-Sissi.

Turut diminta bersara ialah Ketua Staf Angkatan Tentera, Sami Anan.

Bagaimana pun Tantawi dan Anan terus dikekalkan dalam jawatankuasa penasihat kepada presiden.

Keputusan terbaru ini dibuat seminggu selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dan membunuh 16 pengawal sempadan Mesir di Semenanjung Sinai.

Pihak tentera dan perisikan telah dipersalahkan ekoran kejadian yang memalukan itu.

Akibatnya, Pengarah Perisikan Mesir, Muraf Muwafi dan Gabenor Sinai Utara, Abdel Wahab Mabruk telah dipecat.

Dan pada masa yang sama, Ketua Polis Tentera, Hamdi Badeen telah diganti kerana gagal menguruskan kawalan keselamatan di upacara pengebumian para tentera yang terkorban itu dengan sempurna sebagaimana yang diarahkan sehingga menjejas keselamatan Perdana Menteri, Hisham Qandil.

Mohammed Morsi juga telah menarik balik peruntukkan yang memberi kuasa kepada pihak tentera untuk terlibat sama dalam merancang polisi awam di negara itu.

Peruntukkan tersebut diwujudkan ketika Mesir di bawah tempoh peralihan selepas kejatuhan Hosni Mubarak.

Artikel Lain