suria

Presiden Zuma Cuba Jadi Pendamai Krisis Politik Madagascar

VICTORIA: Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma tiba di Kepulauan Seychelles di Lautan Hindi pada Rabu dalam usahanya untuk menjadi orang tengah dalam krisis politik di Madagascar.

Ini berikutan krisis yang berlaku di antara presiden Madagascar dengan bekas presiden yang ditumbangnya tiga tahun lalu dengan bantuan tentera.

Sejak Madagascar diambil alih oleh Andry Rajoelina selepas dia menumbangkan Marc Ravalomanana pada Mac 2009 dengan bantuan tentera, negara pulau itu bergelumang dengan krisis yang berpanjangan.

Kedua-dua Rajoelina dan Ravalomanana telah pun tiba di sini lebih awal bagi menanti ketibaan Zuma pada Rabu.

Pada Selasa, kedua-duanya telah bertemu dengan Presiden Seychelles, James Michel, secara berasingan.

Michel telah menegaskan kestabilan Madagascar adalah sangat penting untuk rantau itu.

Rundingan yang berlangsung buat pertama kali antara mereka berdua pada 25 Julai juga di salah sebuah pulau di sini, gagal mencapai kata sepakat yang dapat menjernihkan suasana.

Bagaimanapun Andry Rajoelina telah pun bersetuju untuk mengadakan pilihan raya pada 8 Mei tahun depan.

Tetapi isu yang menjadi penghalang kepada rundingan damai itu ialah berpusat kepada soal kepulangan Ravalomanana dari buangan di Afrika Selatan.

Ravalomanana berhasrat untuk kembali dan mengambil bahagian dalam pilihan raya 2013.

Namun pada masa yang sama, yang menghalangnya untuk terus kembali ke tanah airnya sendiri ialah hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atasnya ketika dia sedang berada di dalam buangan.

Dia dijatuhkan hukuman tersebut oleh mahkamah ekoran tindakan pasukan pengawal istananya yang menembak mati para perusuh yang menentang pemerintahannya tiga tahun lalu - sekaligus membawa kepada kejatuhannya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain