suria

Pensijilan Halal Tidak Liputi Program TV - Menteri

JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Penerangan Indonesia Tifatul Sembiring berkata program televisyen tidak harus dinilai atas dasar sama ada ia halal atau haram dari segi Islam.

"Tidak berbangkit soal program tv yang halal atau haram. Program televisyen patut dilihat sama ada ia mempunyai nilai pendidikan, selaras dengan undang-undang," Tifatul dipetik sebagai berkata demikian dalam akhbar bahasa Inggeris Jakarta Globe, Selasa.

Menteri itu mengulas saranan Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) bagi Majlis Ulama Indonesia cawangan Jawa Barat supaya mengkaji kemungkinan mengadakan pensijilan halal untuk program televisyen.

Sementara itu, pengerusi KPI Mochamad Riyanto berkata cadangan berkenaan perlu dibincang lebih lanjut kerana perkara itu berkaitan dengan pihak berkuasa pelbagai institusi.

Riyanto berkata sepanjang bulan Ramadan, stesen televisyen banyak melakukan perkara yang melanggari etika dengan menyiarkan program komedi yang kandungannya berunsur 'menghina' semasa umat Islam Indonesia berbuka puasa atau bersahur.

Pesuruhjaya KPI Nina Mutmainah berkata suruhanjaya itu telah mengeluarkan surat memberi amaran kepada tujuh stesen televisyen sepanjang Ramadan ini kerana melanggar peraturan yang kebanyakannya mengandungi unsur penghinaan terhadap golongan minoriti dan terpinggir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain