suria

Pejabat Asean AirAsia Di Jakarta Jadikan Syarikat Malaysia Lebih Global

JAKARTA: Ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata pembukaan pejabat Asean AirAsia sebagai pangkalan serantau hari ini adalah satu hala tuju yang betul untuk menjadikan syarikat Malaysia lebih global.

"Jadi saya di sini untuk menjadikan syarikat Malaysia lebih global. Ini adalah mandat pemimpin-pemimpin negara kita dan kami melakukannya," katanya kepada wartawan Malaysia dan beberapa negara lain selepas pembukaan pejabat Asean AirAsia di sini Selasa.

Fernandes menyifatkan keputusan untuk membuka pejabat Jakarta ini sebagai sesuatu yang berani.

"Kami telah menubuhkan pangkalan di sini dan kami merancang ke hadapan dengan mengambil keputusan yang berani dan penuh emosi bagi saya untuk keluar dari Malaysia dan bekerja di sini kerana saya fikir ini adalah langkah yang patut diambil untuk meletakkan syarikat Malaysia ke peringkat seterusnya," katanya.

Menekankan bahawa ibupejabat AirAsia masih terletak di Malaysia, pangkalan serantau syarikat di Jakarta akan berfungsi sebagai "pusat pemikiran" strategik untuk AirAsia merancang masa depannya.

Fernandes berkata AirAsia mahu membangun di semua negara dan akan terus meninjau cara untuk mengembangkan pasaran.

Pada masa ini, tumpuan akan diberikan kepada pasaran Asean, dengan populasi 680 juta, dan Asia sebagai rantau yang lebih besar kerana terdapat lebih banyak peluang pertumbuhan di sini berbanding di Eropah.

Dengan penarikan AirAsia X dari Eropah, beliau berkata, syarikat itu kini lebih menguntungkan.

Fernandes berkata pejabat Jakarta akan memberikannya lebih banyak masa bersama-sama dengan sekumpulan 20 orang pekerjanya untuk merancang masa depan syarikat.

"Saya boleh tinggal di sini dengan fikiran yang tenang dan membuat perancangan strategik berbanding membazirkan masa berbalah dengan Malaysia Airports atau memikirkan tentang kelewatan atau menguruskan perkara yang kini diuruskan dengan baik oleh CEO saya di Malaysia. Ini memberikan saya peluang untuk membuat perancangan pada gambaran yang lebih luas," katanya.

Pembukaan pejabat Jakarta hari ini pada malam sebelum Hari Asean adalah sesuatu yang dirancang untuk mengukuhkan komitmennya kepada wilayah Asean dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan Asean. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain