suria

Rhoma Irama Nafi Tiup Sentimen Agama Dalam Kempen Pilihan Raya

JAKARTA: Penyanyi dangdut dan pendakwah terkenal Indonesia Rhoma Irama hari ini menafikan kononnya beliau meniupkan sentimen bangsa dan agama dalam kempen pilihan raya umum gabenor Jakarta baru-baru ini.

Rhoma berkata ceramah beliau di sebuah masjid di Tanjung Duren, Jakarta Barat baru-baru ini bukan berkempen untuk pilihan raya.

"Saya harus tegaskan bahawa apa yang saya sampaikan di masjid itu bukan kempen (pilihan raya) tapi dakwah, ini istilah yang berbeza," katanya pada persidangan akhbar selepas memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Pengawas Pilihan Raya Umum (Panwaslu) Jakarta di sini, Isnin.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak melanggar peraturan SARA (suku, agama, ras dan antara golongan) seperti didakwa sesetengah pihak.

Rhoma berkata beliau telah diundang oleh Panwaslu bagi menjelaskan sepotong ayat yang diucapkan beliau semasa ceramah itu bahawa orang Islam dilarang memilih bukan Islam sebagai pemimpin.

Rhoma juga berkata beliau sangat menghormati pasangan calon gabenor dan timbalan gabenor Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan Basuki Tjahaja Purnama yang dikenali sebagai Ahok, namun dalam konteks memilih pemimpin beliau harus menyampaikan perintah Allah.

"Saya katakan ini bukan isu SARA. Misalnya saya katakan Jokowi itu Jawa dan agamanya Islam. Lalu Fauzi itu Betawi dan Nara juga Betawi, agamanya Islam...Rakyat harus tahu siapa calon mereka," katanya.

Gabenor Jakarta Fauzi Bowo yang dikenali sebagai Foke serta Nachrowi Ramli atau dikenali sebagai Nara juga merupakan pasangan calon Gabenor dan Timbalan Gabenor dalam Pilihan Raya Umum Jakarta baru-baru ini.

Pusingan kedua pilihan raya umum itu dijadualkan pada September ini kerana dalam pusingan pertama tidak ada satu pun daripada enam pasangan calon Gabenor dan Timbalan Gabenor yang memperolehi sokongan lebih 50 peratus daripada para pengundi. - BERNAMA

Artikel Lain