suria

Presiden Mesir Arah Ambil Alih Kawalan Sepenuhnya Ke Atas Semenanjung Sinai

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Morsi telah berikrar untuk mengambil alih semula kawalan ke atas Semenanjung Sinai selepas 16 anggota pengawal sempadan Mesir dibunuh dalam satu serangan menggunakan dua buah kenderaan berperisai pada malam Ahad.

Kumpulan bersenjata itu yang kemudiannya menyeberang ke sempadan Israel pula telah ditembak mati oleh helikopter tentera Israel.

Kumpulan lelaki bersenjata itu yang berpakaian seperti puak badawi, telah memandu dua buah kenderaan sehingga ke pintu kawalan sempadan sebelum melepaskan tembakan ke arah para pengawal.

Pihak berkuasa Israel berkata, salah sebuah kenderaan berperisai itu telah meletup ketika dikejar manakala sebuah lagi musnah ditembak oleh helikopter Israel.

Mereka kemudian menemui lima mayat di dalam kenderaan berkenaan.

Jurucakap tentera Israel, Yoav Mordechai memberitahu Radio Tentera, pihak Israel telah menerima maklumat awal mengenai rancangan serangan itu daripada risikan tentera dan telah meletakkan pasukan kawalan sempadana dalam situasai berjaga-jaga.

Katanya, kenderaan yang menyerang pos kawalan sempadan Mesir itu telah menyeberang masuk ke wilayah Israel selepas itu dan melepaskan tembakan secara membabi buta ke merata arah sebelum mereka dihalang oleh kereta kebal dan helikopter tentera Israel.

Mordechai menyalahkan Mesir di atas serangan itu yang disifatkannya sebagai lemah dalam mengawasi aktiviti pengganas di Semenanjung Sinai.

Ekoran dari insiden itu, Presiden Morsi telah mengarahkan supaya pihak berkuasa Mesir mengambil alih semula kawalan sepenuhnya ke atas Semenanjung Sinai.

Ini adalah ancaman serangan yang pertama ke atas Mesir sejak Mohamed Morsi mengambil alih tanggungjawab sebagai presiden yang pertama dipilih secara demokratik pada 30 Jun lalu sejak era kejatuhan Hosni Mubarak.

"Penjenayah ini, penyerang ini bukan sebahagian daripada rakyat Mesir dan mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan ini akan diburu dan ditangkap oleh pihak berkuasa Mesir," ujar Mohamed Morsi lagi.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji tindakan pantas pihak risikan dan juga tentera dalam mengawal serangan itu dan memastikan tidak ada seorang pun orang awam yang terbunuh.

Sementara Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, insiden ini menunjukkan pihak berkuasa Mesir perlu mengandakan lagi kawalan keselamatan mereka terutamanya dalam mematahkan sel-sel pengganas di Semenanjung Sinai.

Serangan itu dikatakan bermula ketika para tentera dan pengawal sempadana Mesir sedang berbuka puasa.

Sementara itu Hamas yang mengawal pentadbiran di sebahagian besar wilayah di Semenanjung Sinai mengutuk serangan itu dalam satu kenyataan.

"Ia adalah satu jenayah yang terkutuk lagi hodoh," nyata kenyataan dari Hamas itu.

Israel mempunyai sempadan sepanjang 240 kilometer dengan Mesir.

Artikel Lain