suria

Menteri Kewangan Baru India Ikrar Tingkatkan Semula Keyakinan, Pertumbuhan

NEW DELHI: Menteri Kewangan India yang baharu, P. Chidambaram, berikrar untuk meningkatkan semula keyakinan para pelabur dan menghidupkan kembali enjin pertumbuhan bagi mengharungi cabaran ekonomi domestik dan krisis ekonomi global.

Langkah penyatuan fiskal, menurunkan inflasi dan menangani kadar faedah yang tinggi adalah antara keutamaanya, katanya semasa membuat ucapan dasar sulung.

"Adalah benar bahawa ekonomi dicabar oleh pelbagai faktor tetapi adalah juga benar bahawa dengan dasar yang baik, tadbir urus yang baik dan pelaksanaan berkesan, kami akan dapat menangani cabaran itu," katanya.

Kunci untuk meningkatkan semula enjin pertumbuhan ialah dengan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing, katanya.

Sekaligus, matlamatnya ialah untuk menghapuskan tanggapan "melakukan perniagaan di India" adalah sukar, yang termasuk kebimbangan kepada beban kawal atur, kata Menteri Kewangan itu.

Chidambaram, yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan antara 2004-2008, dilihat sebagai menteri mesra pasaran. Beliau kini mempunyai tanggung jawab besar memulihkan semula ekonomi ketiga terbesar di Asia itu.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar India (KDNK) bagi suku pertama tahun ini dicatatkan 5.3 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh sembilan tahun berbanding dengan purata pertumbuhan 8.9 peratus semasa beliau menjawat portfolio itu. - BERNAMA

Artikel Lain